MAJLIS BELIA MALAYSIA

“Arkib Sebagai “Insuran Negara” : Sorotan Ringkas Pendokumentasian Gerakan Belia”

Ketika kunjungan yang sama, Ketua Pengarah Arkib Negara juga ada berikan contoh Negara Korea Selatan yang merekodkan manuskrip tertua dalam simpanan mereka adalah sekitar 1200++ M. Walhasil, timbullah kesedaran jatidiri yang teguh, sehingga mereka menzahirkannya dalam dokumentari mengenai kisah maharaja-maharaja mereka dengan jelas, kerana setiap babak dicedok daripada fakta bertulis yang diperakukan wibawanya menurut falsafah sejarah.

Apakah alasan kelemahan dokumentasi khazanah bertulis di negara ini ?

i) Pembudayaan semangat menghargai warisan bertulis dikalangan masyarakat negara ini yang rendah.
ii) Perubahan cuaca.
iii) Faktor sampingan seperti penghangusan, perebutan atau faktor manusia (human factor) seperti salah letak, hilang atau sebagainya.

Arkib adalah milik masyarakat, milik tamaddun. Penghargaan terhadap zaman silam adalah prasyarat kebangunan masa depan yang terpandu. Masyarakat, hargai setiap lembar-lembar bertulis hari ini. Nilai dan harganya untuk di taksir pada masa hadapan.

Pengarkiban Sejarah Gerakan Belia

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) antara yang terkehadapan dalam usaha ini. ABIM memiliki kekayaan khazanah warisan harta intelektual (intellectual property) mereka yang sarat. Bukan sekadar garis-garis besar sejarah mereka sendiri, malahan termasuk sejarah institusi yang berkaitan langsung dan tidak langsung dengan mereka. Sebelum ini timbul perdebatan sejarah mengenai TASKI, siapakah yang memulai. Dakwa dakwi daripada pelbagai pihak yang mempertahankan dan menafikan bahawa ABIM sebagai aktornya dijawab dengan hujjah-hujjah berdasarkan sandaran koleksi arkib, samada berbentuk catatan dalam buku, laporan, minit mesyuarat, draf ucapan. Ia ditandai dengan butiran lengkap, tarikh, masa dan siapa. Jika saudara-saudari membaca tentang asas-asas falsafah sejarah, saudara-saudari akan memperakui bahawa ianya cukup untuk berdiri sebagai bahan sejarah yang boleh dirujuk dan dijadikan argumen.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) juga tidak terkecuali. Simpanan arkib mereka dapat dijejak sehingga babak-babak seawal sebelum penubuhannya mereka. Termasuklah surat-surat berharga yang mengabsahkan peranan mereka dalam mengukir sejarah besar termasuk menggesa penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penulis ini tidaklah dapat memajukan lebih banyak fakta, memandangkan hanya menyiapkan makalah ringkas ini dalam tempoh satu jam. Ketika sedang menulis banyak tentang Gerakan Belia sebagai Warisan Tidak Ketara Negara, terlintas untuk memercik (spark) mengenai isu ini.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak perlu lagi diperkenalkan. Sumbangan besar organisasi ini terhadap banyak babak-babak utama pengukiran sejarah tanah air cukup membangggakan. Termasuklah usaha menggesa penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang berorientasikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengatarnya dilobi oleh GPMS. Sejarahnya bermula lebih awal pada 1917 oleh Pendeta Za’ba melalui makalahnya tentang keperluan penubuhan sebuah ‘Madrasah Besar’, disusul oleh Abdul Kadir Adabi pada tahun 1923 kemudian disambung gelora berkenaan oleh NGO-NGO termasuklah GPMS sebagai antara aktor utamanya.

Gerakan Belia 4B Malaysia tidak terkecuali. Ketika zaman Tun Ali Rustam, usaha pendokumentasian sejarah kendiri telah dirintis. Buku tebal itu merujuk masa lalu dan pencapaian 4B yang masyhur sebagai gerakan belia terbesar dan paling luas tebarannya senatero tanah air. Usaha selepas para pendahulu kita ini harus diteruskan oleh generasi kini dan kemudian.

Kita perhatikan contoh seorang tokoh gerakan belia yang cukup banyak menulis dan memberikan perhatian mendalam soal-soal perekodan. Melaluinya, penulis bahkan dapat mengambil banyak faedah sebagai rujukan.

Sanusi Junid, Mantan Presiden MAYC paling lama dalam sejarah (28 tahun), bukan pemimpin belia kaleng-kaleng (menurut istilah sekarang). Amat jarang pemimpin belia yang punya kebolehan menganalisis plot ekonomi, politik dunia. Beliau seorang daripadanya.

Sanusi Junid, seorang daripada kalangan bukuwan, menguasai banyak bahasa asing (yang sering – English, Jerman, Mandarin, Arab). Seorang daripada perakam sejarah yang prolifik oleh ligatnya beliau menulis dan mencatat.

Pergerakan belia beliau bermula seawal 1970-an sebagai Setiausaha Agong MAYC. Manakala, beliau turut campur tangan sebagai antara barisan awal pengasas ABIM sebagai Naib Presidennya. Di beranda rumahnya ABIM didaftarkan. “Saya, sebagai salah seorang pengasas ABIM yang ibu pejabat pendaftaran pertamanya adalah di rumah saya di alamat No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur” seperti dipetik daripada blogspot beliau.

Ketika beliau memimpin MAYC, beberapa projek penulisan dan penerbitan buku diluncurkan. Termasuklah buku-buku biografi tokoh korporat Jepun dan Korea Selatan yang menurut beliau wajar ditauladani. Misi moralnya untuk meningkatkan kepemilikan ekonomi bumiputera. Kesedaran meniru kerja keras negara-negara Asia Timur ini yang terkenal dengan budaya “Bushido” seperti yang dipegang Syarikat Samurai, Mitsui, Marubeni, Sumitomo di Jpeun. Manakala di Taiwan dengan semangat “Jinsheng”, di Korea Selatan “Hwarang”.

Keajaiban ekonomi Korea Selatan telah memukau dunia. Hanya baru pulih daripada perang saudara 1950 – an, Korea Selatan muncul sebagai pencabar ekonomi dunia melalui sektor industri. Kemudian, dengan pengenalan kepada budaya popular “Hallyu” yang menjadi strategi kuasa lunak, pulangan ekonomi Korea Selatan membawa negara mereka menduduki kuasa ekonomi ke – 11 terbesar dunia pada tahun 2017.

Sanusi Junid lebih awal memulai dorongan kegiatan terjemahan biografi panglima-panglima Chaebol, Konglomerat Korea ke dalam Bahasa Melayu. Salah satunya karya mengenai Pengasas Syarikat Daewoo, Kim Woo-Choong dengan judul terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu “Kekayaan Ada di Mana-mana”.

Dalam kata pengantar, Sanusi Junid menurunkan analisisnya mengenai empat sudut ekonomi negara dunia. Pandangan yang saya rasakan masih segar dan jitu.

“Satu analisis yang saya buat menunjukkan keadaan ekonomi di dunia pada waktu itu terbahagi kepada empat kelompok. Kelompok pertama terdiri daripada negara-negara yang pernah dijajah Inggeris seperti Malaysia, Australia, India dan lain-lain. Saya menamakan kelompok ini sebagai kelompok Negara-Negara Demokrasi Berbahasa Inggeris atau “ The English-Speaking Democracies”. Keadaan ekonomi di semua negara ini berada dalam keadaan meleset.

Kelompok kedua ialah Negara-negara Komunis yang juga menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk. Punca masalah dan cara penyelesaian adalah sama kerana dipengaruhi buku-buku komunis.

Kelompok ketiga ialah Negara-negara Islam di Asia Barat dan Negara-negara Kristian di Amerika Selatan. Kedua-dua wilayah di dunia ini, walaupun berorientasikan agama yang berlainan, menghadapi masalah politik kerana ekonomi ataupun masalah ekonomi kerana politik. Di Asia Barat, negara-negara Islam menghadapi masalah politik kerana kekayaannya digunakan untuk mengumpul senjata sementara negara-negara Amerika Selatan menghadapi masalah ekonomi kerana politiknya yang tidak tenteram.

Pada waktu yang sama, kita mendapati ada satu kelompok negara yang terdiri daripada Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Jerman dan Perancis yang ekonominya terus maju dan tidak meleset. Jelas sekali, negara-negara ini tidak fasih dalam bahasa Inggeris atau apa yang saya namakan “ The Non-English-Speaking Democracies”. Oleh itu, bagi kita yang berada di Asia atau di Timur sudah tentu kita ingin melihat apakah sebabnya maka negara-negara Jepun, Korea Selatan dan Taiwan telah mencapai tahap kejayaan yang begitu tinggi”

Kami tidak akan bincangkan beberapa soal yang boleh disyarah, tentang maju dengan bahasa sendiri.

Perhatian cuma ditumpukan bagaimana seorang pemimpin belia yang lazim diasosiasikan dengan citra ‘baju batik’, ‘kompang’ dan ‘bunga manggar’ di imej awam, telah meninggalkan penanda aras tinggi dalam kegiatan intelektualisme. Tulisan dan analisis beliau wajar dipuji. Kita sebagai angkatan kemudian mendapat kemudahan untuk merujuk dan menyelami zaman itu walaupun belum lahir ke bumi.

Penulis tinggalkan dengan kata-kata “sejarah sebesar apa sekalipun dan pencapaian terhebat sekalipun akan luput dan hilang jika tidak dirakam”. Selamat mengarkib milik sendiri.

Muhamad Hanapi Jamaludin

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »