PUTRAJAYA, 14 September – Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 terus menjadi wadah penghargaan tertinggi dalam mengiktiraf jasa, bakti dan sumbangan golongan belia yang telah memberi impak positif kepada masyarakat serta pembangunan negara.
Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 yang berlangsung di The Everly Putrajaya telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, yang turut menyampaikan anugerah kepada para penerima bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Penganjuran APBN yang diperkenalkan sejak tahun 1988 ini menjadi platform penting dalam mengangkat pencapaian belia Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan, kepimpinan, komitmen serta penglibatan aktif dalam membawa perubahan dan manfaat kepada komuniti.
Antara kategori utama yang dipertandingkan ialah Kategori Pertubuhan Belia, Kategori Individu Lelaki, Kategori Individu Wanita, Kategori Emas Remaja Perdana serta Kategori Anugerah Khas YB Menteri Belia dan Sukan.
Majlis tersebut turut dihadiri YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), serta Saudara Muhammad Naim Al Amin Saharudin, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia.
Melalui penganjuran APBN, kerajaan terus komited dalam memberi pengiktirafan kepada belia yang berbakti, di samping menyemarakkan semangat generasi muda untuk terus mencipta kejayaan, memperkukuhkan kepimpinan serta menjadi inspirasi kepada masyarakat dan negara.
Menggerak Belia!
Kredit Gambar : @JBSNegara













