Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
SATU daripada pengisian utama musim cuti persekolahan ialah berlangsungnya banyak majlis perkahwinan. Tempoh cuti sekolah selama dua minggu ini sangat sesuai untuk melaksanakan keperluan pernikahan dan majlis kenduri kahwin.
Bagi masyarakat Melayu, cuti pertengahan tahun ini sering menjadi pilihan kerana tidak lama lagi akan tiba bulan puasa dan musim haji. Memilih cuti sekolah hujung tahun juga agak berisiko kerana berkemungkinan si pengantin akan bersanding dalam banjir.
Begitulah pentingnya musim cuti persekolahan kepada masyarakat kita. Suatu fenomena biasa jika didapati ramai penjawat awam yang turut mengambil cuti rehat sempena musim cuti sekolah.
Bagi anak peluang cuti sekolah pasti ingin dimanfaatkan untuk berehat dan mengisi masa bersama keluarga serta sanak saudara. Sebab itulah majikan serta ketua jabatan khasnya perlu memahami tuntutan waktu bercuti dalam kalangan pekerja serta staf bawahannya.
Terdapat majikan dan syarikat yang mengambil jalan bijak dengan mengadakan program permukiman (retreat) atau hari keluarga dengan memberi peluang staf membawa ahli keluarga masing-masing.
Cara sedemikian akan memberikan pemahaman lebih baik ahli keluarga terhadap tugas serta peranan ayah atau ibu dalam organisasi tersebut. Hubungan antara staf dan majikan juga lebih baik kerana pastinya pekerja akan terhutang budi dan menyayangi pekerjaannya.
Menyentuh isu perkahwinan, Penulis melihat ia antara perkara asas sentiasa bermain dalam fikiran anak muda khususnya yang masih bujang dan dara. Memang menjadi fitrah manusia pasti akan melalui fasa kehidupan berumah tangga.
Kebanyakan anak muda akan mula memikirkan keperluan untuk berkahwin sebaik saja menamatkan pengajian di kolej atau universiti dan sudah mula memiliki kerjaya tetap.
Peluang dan ruang belajar di kampus sering dijadikan tempat untuk mengenali pasangan hidup, namun tidak kurang juga yang menemui pasangan di tempat kerja.
Teringat penulis kepada seorang rakan baik yang setiap semester bertukar teman wanita. Pada akhir pengajian beliau berjanji bahawa teman wanita yang hadir dan bergambar bersama ahli keluarganya sewaktu majlis konvokesyen adalah bakal pasangan hidupnya.
Tetapi sudah ditakdirkan akhirnya beliau berkahwin dengan rakan sekerja yang dikenali di tempat kerja. Kini, menjadi suatu pantang besar buatnya jika penulis bertanyakan di manakah letaknya album gambar beliau sewaktu berada di kampus, termasuk di majlis konvokesyen dulu? Itulah yang dikatakan ‘jodoh di tangan Tuhan’. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam satu laporan akhbar minggu lalu menyatakan bahawa menjadi trend masa kini masyarakat kita semakin melambat-lambatkan perkahwinan.
Keadaan ini dikatakan amat ketara dalam kalangan golongan wanita khasnya yang berkerjaya dan berpendidikan tinggi. Data terkini menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun masih belum berkahwin berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.
Faktor kesukaran menemui calon bersesuaian menjadi alasan utama wanita bujang negara ini berkahwin lewat. Bagi lelaki bujang alasan utama pastinya keadaan kewangan yang masih belum stabil.
Fenomena ini sebenarnya tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak. Kita tidak boleh membiarkan institusi perkahwinan menjadi sesuatu yang dipandang sangat berat dan akhirnya diketepikan oleh anak muda kita. Lebih buruk lagi akan terdapat anak muda yang mengambil jalan pintas dengan hidup bersama tanpa ikatan sah. Hal sedemikian akan mengundang malapetaka moral yang tidak berpenghujung kepada masyarakat kita. Kedua-dua alasan yang dinyatakan di atas sama ada bagi orang lelaki dan perempuan adalah saling berkaitan dan perlu dirungkai secara bersama. Kos perkahwinan kini secara relatif meningkat saban tahun.
Majlis perkahwinan bukan lagi menjadi lambang penyatuan dua insan pada asas kekeluargaan yang diberkati. Bahkan ia menjadi lapangan pertempuran bagi memaparkan kekayaan dan kemewahan antara dua keluarga besar.
Mangsa utamanya ialah kedua pasangan pengantin yang pada awal-awal lagi terpaksa berbelanja besar demi menjaga air muka keluarga masing-masing. Sudahnya, pasangan pengantin baru ini akan menghabiskan minggu bulan madu dengan wajah suram kerana beban hutang menunggu di depan pintu.
Penulis masih teringat keluhan seorang bakal pengantin yang menghubungi sebuah rancangan radio tempatan minggu lalu berkaitan hal ini. Menurut wanita itu, desakan ibu saudara agar diadakan dua majlis di pihak lelaki dan perempuan menyebabkan bakal pasangan pengantin itu berasa tertekan dan terfikir untuk membatalkan majlis dan bernikah secara senyap di sempadan.
Ini kerana mereka terpaksa menggunakan wang simpanan yang sepatutnya diperuntukkan untuk membeli rumah sebaik saja berkahwin. Sesuatu harus dilakukan bagi menjadikan proses perkahwinan menjadi sesuatu yang mudah dan tidak membawa beban hingga mampu meminggirkan institusi perkahwinan.
Trend perkahwinan mewah yang kadangkala membawa kepada budaya pembaziran harus dihentikan. Anak muda kita dan ibu bapa juga perlu dibawa kembali ke dunia realiti. Apalah ertinya majlis kahwin yang gilang-gemilang dengan nilai pelamin dan pakaian yang beribu ringgit jika akhirnya kedua-dua mempelai melalui bulan-bulan awal perkahwinan dengan tidur berlapikkan tilam ‘toto’ dan mengisi perut dengan mi segera.
Keadaan ini lebih teruk kepada pasangan yang memulakan hidup baru di bandar besar. Jika sebelum ini tinggal menyewa bilik dan menyara diri sendiri, kini si suami perlu menanggung kos rumah sewa di pinggir kota dan menyara si isteri yang masih belum bekerja.
Keadaan akan menjadi lebih rumit dan sukar apabila si isteri mula berbadan dua. Saat ini memerlukan suami berfikir bijak serta matang. Perubahan dan tuntutan sosioekonomi yang baru ini akan membentuk psiki-sosial pasangan muda ini dan jika tidak ditangani dengan baik mampu menjejaskan hubungan murni yang baru terbina.
Statistik masa kini menunjukkan ketidakmampuan pasangan muda menangani masalah dan cabaran hidup pada awal perkahwinan menyebabkan berlakunya perceraian. Peningkatan jumlah ibu dan bapa tunggal muda di negara ini amatlah membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak. Bagi pihak MBM, beberapa saranan sudah dikemukakan kepada pihak kerajaan, antaranya ialah melonggarkan syarat permohonan rumah mesra rakyat khasnya di kawasan bandar kepada pasangan yang sudah berkahwin tetapi belum memiliki anak.
Penulis sarankan agar diperkenalkan satu skim bantuan atau subsidi kepada barangan keperluan bayi kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah. Hal ini bagi memastikan anak tidak menjadi mangsa kepada kemiskinan ibu bapa muda ini.
Berikan pasangan muda ini bernafas membina kehidupan kerana mereka adalah tonggak pembangunan modal insan negara. Kepada anak muda yang bertemu jodoh bulan ini, tabah dan kuatlah menghadapi cabaran hidup. Serlahkan rasa yakin dengan sentiasa tersenyum riang agar seri pengantin baru anda dirasai ipar duai serta keluarga baru.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM