MAJLIS BELIA MALAYSIA

Anwar peruntuk RM10 juta untuk program Rakan Muda

MELAKA, 25 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan program Rakan Muda tahun ini.

Anwar berkata kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi sokongan dan mengutamakan belia.

Belia diingatkan agar tidak lupa tanggungjawab dan terus menimba ilmu demi menentukan arah masa depan negara yang lebih gemilang.

“Kita ingat, kita punya tanggungjawab dan timba ilmu.

“Anak muda itu dikenali kerana cita-cita murninya, idealisme, benci rasuah, cinta kebenaran..kebaikan, maka kita mesti tolak kefahaman jumud dan angkat akidah dan akhlak baik.

“Ini tanggungjawab anak muda dalam apa-apa keputusan kita lakukan, kita nilai berdasarkan ilmu,” Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Belia Negara di sini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Anwar berkata rang undang-undang berkaitan Suruhanjaya Pekerja Gig akan dibentang di Parlimen pada Julai ini.

Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah tersebut selepas mendapat usul daripada golongan belia sebelum ini.

Jelasnya, ia bukti kerajaan sentiasa mendengar suara belia dan akan melaksanakan setiap usul yang memberi manfaat terhadap belia dengan sebaiknya.

“Baru-baru ini ada usul daripada belia-belia.

“Dia minta supaya adakan Suruhanjaya Pekerja Gig, kerana puluhan ribu, malah mencecah 100,000 anak-anak muda dalam ekonomi gig.

“Kerajaan terus setuju dan kita akan persiapkan undang-undang dan insya-Allah boleh dibentangkan di Parlimen pada Julai akan datang,” kata Anwar.

Anwar ketika berucap pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya Mac lalu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu.

Ia bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia boleh menjadi negara hebat di rantau ini jika rakyatnya bersatu padu, menghilangkan keangkuhan dan perkauman sempit dalam kalangan masyarakat.

Justeru, beliau mahu golongan belia melengkapkan diri dengan maklumat dan ilmu yang mencukupi kerana golongan itu bukan terkenal kerana suaranya, tetapi cita-cita murni serta idealisme mereka.

Artikel penuh :

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/anwar-peruntuk-rm10-juta-untuk-program-rakan-muda?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTEAAR0Ff3tsKhXrHSkkbAxOvjqKbkhr9p73bJQYbXusYC9S2TLgTD97ya4duko_aem_AccJDCcFT6lWkei_aeOsDnSLCnSarzhynWYeEEFSGSFYva6DwdF5-3hTt6rT5sIzr0R50ZsjfRR2Jwv33gfy9cCw

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »