Monday, 09 June 2008
SHAMSUL ANUAR : Saya merasakan bahawa pemilihan tema Hari Belia 2008, Belia Cemerlang, Negara Terbilang amat tepat dan kena pada masa serta ketikanya. Kita mesti sedar bahawa antara syarat utama kepada tercapai atau tidak sebuah Negara yang terbilang pada masa akan dating tentu bergantung kepada golongan generasi muda belia.Sudah tentu tema ini menggambarkan kepada kita khususnya generasi muda bahawa, mereka (belia) adalah golongan penting dan mesti berada dalam keadaan yang terbaik dalam segala bidang bagi memastikan negara ini benar-benar terbilang.Saya amat yakin bahawa pemilihan tema ini dibuat kerana kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedar bahawa usaha dan perhatian kepada golongan ini perlu diberikan bagi tujuan meletakkan Negara terbilang pada masa akan dating. Belia adalah model atau aset utama kepada negara dan jika belia dalam keadaan yang tidak baik pastinya usaha negara akan melalui jalan yang agak sukar.
Sejauh mana makna Hari Belia ini difahami golongan belia sendiri?
Saya dan MBM amat menyedari sudah begitu lama kita mengadakan sambutan Hari dan Minggu Belia setiap 15 Mei dan kali ini sambutannya diadakan lagi dengan pelbagai cara dan aktiviti, namun saya mengakui bahawa masih ada segelintir daripada 11 juta orang belia dalam Negara tidak memahami erti hari belia ini.
Malah saya begitu yakin ada di antara mereka yang masih bukan sahaja tidak tahu makan hari belia malah mungkin langsung tidak menyedari adanya suatu hari yang diadakan oleh pihak kerajaan khusus untuk mereka. Namun demikian majoriti daripada golongan muda memahami erti sambutan yang diadakan ini setiap tahun.
Sebagai Presiden MBM, saya harap supaya golongan belia menjadikan hari belia sebagai hari yang bermakna bagi mereka dan memanfaatkannya dengan sesuatu yang baik supaya golongan belia menjadi golongan terbaik dan penting kepada negara.
Maknaya jika kita (belia) mahu menjadi penting maka kita mesti jadi golongan belia yang baik dan berkualiti. Saya impikan dan harapkan semangat dan makna hari belia ini dapat dirasai segenap lapisan masyarakat bukan sahaja golongan muda, kerana membangunkan golongan belia bukan terletak di tangan belia sahaja.
Kita ada majoriti belia yang tidak berpersatuan, maka Hari Belia ini kurang signifikan kepada mereka. Jadi bagaimana Datuk hendak membawa Hari Belia ini memberi makna kepada mereka?
MBM telah banyak kali mencadangkan agar pertubuhan belia diberikan tanggungjawab sebagai pelaksana sambutan hari yang disediakan untuk mereka. Berikan peluang belia mencadangkan dan mengatur hari untuk mereka dan kita tetapkan matlamat.
MBM dan saya yakin dengan cara ini ia akan memnyebabkan sambutan ini akan lebih bermakna kepada mereka. Malah, yang lebih utama ialah sambutan ini tidak hanya di peringkat kebangsaan tetapi hendaklah sehingga ke akar umbi, biar golongan belia yang berpersatuan atua tidak berpersatuan merasai bahawa adanya hari yang mengiktiraf mereka sebagai belia.
Sebab itu saya sering mengatkan bahawa kita kena berubah. Kehendak dan cita rasa golongan muda sudah berbeza maknanya sambutan yang diadakan mestilah menepati sasaran dan cita rasa mereka supaya kita tidak hanya syok sendiri dan apa yang kita buat hanya kita yang suka tetapi tidak kepada golongan belia. Sebab itu bagi saya kalau kita mahu hari belia bermakna kepada belia sama ada berpersatuan atau tidak, maka apa yang kita buat mesti memenuhi selera dan kehendak semua golongan namun matlamat mesti tercapai dan cara mestilah sesuai iaitu kearah membentuk belia yang terbaik untuk Negara.
Tahun lepas Datuk dipilih sebagai Tokoh Belia Lelaki pada Majlis Anugerah Belia Negara 2007. Sebagai ikon kepada golongan belia, apakah perubahan yang ingin bawa kepada golongan sasaran ini.
Saya inginkan supaya belia menjadi yang terbaik. Lakukanlah apa juga yang mereka suka atau inginkan. Namun, ia mesti betul dan berfaedah dan menguntungkan tidak sahaja dirinya tapi juga agama, bangsa dan negaranya. Tokoh belia mesti menjadi contoh kepada golongan belia. Kalau kita mahu kita dicontohi maka kita mesti jadi ikon yang boleh dicontohi, maka peribadi kita, cara berfikir, cara bertindak, cara kita memimpin, pergaulan kita, cara kita bercakap, jati diri kita mestilah yang baik dan boleh diikuti. Sudah tentulah saya mahu agar belia Malaysia adalah belia yang bijak dan matang. Banyak berfikir dan membuat keputusan dan tindakan berasaskan Sesutu yang benar dan tepat. Belia yang baik tentulah belia yang mampu bertindak dengan hebat dan menguntungkan tidak hanya pada dirinya tetapi juga kepada orang lain dan tentulah juga kepada negaranya.
Dapatkah anugerah sempena Hari Belia Negara menjadi pendorong kepada golongan belia untuk lebih berdaya maju?
Anugerah sempena hari belia merupakan suatu pengiktirafan sama ada kepada individu atau pertubuhan. Ia merupakan suatu pengiktirafan yang sangat dinanti-nantikan. Sejak begitu lama anugerah diadakan saya begitu yakin ia dapat menjadi pendorong kepada golongan belia kerana ia merupakan sesuatu yang dinantikan oleh mereka. Sudah tentu ia menjadi pembakar semangat untuk mereka agar lebih maju ke hadapan.
Terdapat 11 juta belia di negara ini, namun hanya dua juta sahaja yang menyertai persatuan. Mengapa tidak ramai belia yang menyertai persatuan?
Isu ramai belia yang tidak menyertai persatuan sudah begitu lama dibahaskan. Apa yang pentingnya kita harus ingat apakah mereka ini tidak menyertai persatuan kerana mereka tidak berminat untuk berpersatuan?
Saya sering sebut bahawa untuk membolehkan ramai belia menyertai pertubuhan belia maka kekuatan mesti diberikan kepada pertubuhan belia. Kekuatan kewangan, semangat, ketinggian daya kepimpinannya dan sebagainya. Soal kepimpinan akan dapat diperkasakan menjelang akhir tahun ini melalui pengwujudan Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007. Namun, saya dan MBM banyak kali sebut bahawa pihak KBS melalui jabatan di negeri atau di daerah mesti kurangkan menjadi pertubuhan belia ini pesaing kepada mereka. Jika pegawai bertindak sebagai pemimpin pertubuhan belia dan menjalankan pelbagai aktiviti belia dengan sumber kewangan yang banyak berbanding persatuan belia, maka golongan muda akan lari meninggalkan persatuan belia. Sebab itu masalah kelesuan belia ini juga berpunca daripada pelbagai program yang menjadi saingan kepada persatuan belia.
Adalah mustahil jika juga belia ini semuanya akan menyertai pertubuhan belia. Umur belia adalah 15 hingga 40 tahun. Jika mereka masih di sekolah tentunya tidak membolehkan mereka menyertai persatuan belia. Jika di universiti mesti mereka terikat dengan akata kolej dan universiti yang tidak membenarkan mereka bergiat dalam pertubuhan belia. Ada golongan muda yang hanya berminat menyertai pertubuhan politik tidak kepada belia, ada belia yang menyertai hanya pertubuhan di tempatnya bekerja sahaja, ada belia yang hanya berminat menyertai pertubuhan sukan atau rekreasi tidak pertubuhan belia. Maknanya kalau nak pastikan semua mereka menyertai belia adalah mustahil. Namun kita mesti berusaha agar majoriti belia menyertai pertubuhan belia.
Saya amat bersetuju KBS menjadi rakan kongsi MBM, tetapi seperti yang saya sering sebut semangat rakan kongsi MBM dan KBS ini hendaklah diadakan juga hingga di negeri dan daerah-daerah. Saya setuju saranan Menteri Baru agar pegawai dan pejabat belia hanya menjadi fasilitator dan bukan pemimpin belia. Berikan pertubuhan belia laksanakan aktiviti. Program mesti menyeluruh tidak bersifat melepaskan batuk di tangga atau hanya kerana ingin adakan program dengan tidak mempedulikan sasaran dan matlamatnya. Laksanakan segera langkah yang Menteri Belia Sukan yang baru ingin lakukan.
Apa pendekatan MBM untuk menarik belia mendaftar dalam persatuan?
Melalui Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007 adalah peluang terbaik bagi kita menyusun, menstruktur dan meningkatkan lagi jumlah keanggotaan belia dalam persatuan. Namun, semua pihak perlu bekerja kuat, ikhlas dan bersungguh-sungguh. MBM sendiri meneruskan agendanya dengan menggerakkan semua pertubuhan yang bergabung di bawahnya mempergiatkan usaha melalui pelbagai cara bagi mendaftarkan belia dalam persatuan.
Belia juga hanya mahu menyertai persatuan jika ia menarik kepada mereka. Lantaran itu MBM seringkali meminta agar semua pertubuhan supaya sentiasa kelihatan menarik dan diminati oleh generasi muda. Jika tidak golongan muda tidak akan bersama kita. MBM juga terus menjadi organisasi yang memperjuangkan masalah dan kehendak golongan muda, ini penting agar MBM dan gerakan belia dilihat penting kepada mereka. Jika kita tidak pedulikan masalah mereka maka mereka tidak akan lihat kita ini penting kepada mereka. Maka MBM dan gerakan belia mesti menjuarai semua kepentingan mereka, barulah mereka akan menyertai pertubuhan belia yang tidak hanya kerana aktiviti tetapi pertubuhan yang menjadi pejuang kepentingan mereka di semua peringkat; kebangsaan, negeri, daerah atau kampung-kampung.