Anak Muda Malaysia mengambil maklum keadaan semasa yang berlaku di Palestin terkait dengan peningkatan konflik terkini di Gaza dan kawasan sekitarnya di antara rakyat Palestin dengan rejim Zionis yang semakin memuncak.
Kami mengutuk sekeras-kerasnya segala tindakan zalim yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama puluhan tahun, yang melibatkan serangan-serangan udara dan rampasan tanah milik rakyat Palestin yang tidak berperikemanusiaan. Kezaliman ini bukan hanya suatu ancaman kepada keamanan dan kedamaian di rantau tersebut, tetapi juga merupakan cubaan yang keji untuk menghancurkan masa depan rakyat Palestin.
Pada saat yang genting ini, kami menegaskan terhadap perlunya menghentikan lebih banyak kerugian nyawa dan mengurangkan penderitaan. Kami juga menggesa agar semua pihak yang berkonflik menghormati batas kemanusiaan khususnya dalam memelihara rakyat awam yang terdiri dari wanita, kanak-kanak, dan warga emas di wilayah bergolak berkenaan. Turut digesa agar tiada pihak yang merosakkan mana-mana rumah ibadat atas nama kemanusiaan.
Anak Muda Malaysia turut merujuk kepada Kenyataan Negara yang telah disampaikan oleh TPM 1 di dalam Parlimen hari ini. Malaysia secara keseluruhannya termasuk menerusi kenyataan awal oleh Perdana Menteri dan Wisma Putra telah menyatakan solidariti terhadap perjuangan dan hak rakyat Palestin. Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai gabungan dan parti turut menyatakan sokongan dengan mengambil bahagian dalam perbahasan dan mendokong penuh kenyataan tersebut. Kenyataan negara ini boleh dianggap sebagai pendirian kita sebagai warga negara ini.
Kami menyeru kepada komuniti antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk berlaku adil dalam menanggapi peristiwa ini, mencari punca sebenar konflik ini dan tidak semata mata menuding jari kepada rakyat Palestin yang memperjuangkan hak asasi dan kemerdekaan tanah air mereka.
Anak Muda Malaysia juga menggesa agar semua negara dan warga dunia yang bertamadun dan berperikemanusiaan agar menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel yang secara tidak langsung menidakkan keabsahan Palestin sebagai negara yang merdeka dan dizalimi.
Kami juga menyeru agar Kerajaan Malaysia segera menghulurkan segala bentuk bantuan termasuklah bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin. Kami menggesa agar Majlis Keselamatan PBB bertindak dengan segera bagi menghentikan penjajahan rejim Zionis ke atas wilayah Palestin yang bergolak.
Dengan demikian juga, sebagai menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin, sebuah Himpunan Solidariti untuk Palestin atau Solidarity March for Palestine akan digerakkan pada Jumaat 13 Oktober 2023 selepas Solat Jumaat bertempat di Surau Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Kami menjemput seluruh anak muda dan rakyat Malaysia serta pimpinan negara dan masyarakat untuk bersama-sama pada hari tersebut bagi menyatakan sokongan kita terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.
Kenyataan Bersama:
1. Pemuda Kerajaan Perpaduan
2. Majlis Belia Malaysia (MBM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
5. Majlis Belia FELDA Malaysia
6. Gerakan Belia 4B Malaysia (4B Malaysia)
7. Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA)
8. Majlis Belia India Malaysia (MIYC)
9. Majlis Belia Negeri Perlis
10. Majlis Belia Negeri Perak
11. Majlis Belia Negeri Kedah
12. Majlis Belia Negeri Johor
13. Majlis Belia Negeri Sembilan
14. Majlis Belia Wilayah Persekutuan
15. Pertubuhan Demokrat Sosial (DEMUDA)
16. Global Peace Mission (GPM)





