MAJLIS BELIA MALAYSIA

Akhlak pemimpin cerminan kepada generasi muda dan hidupkan semangat rukunegara

Pengendalian sidang media oleh seorang pemimpin politik baru-baru amat mengecewakan dan memberikan cerminan akhlak yang buruk kepada generasi muda. Ia sepatutnya dikendalikan penuh profesional, berhemah, empati dan berfakta.

Majlis Belia Malaysia (MBM) amat bimbang gelagat seperti ini akan dijadikan hujah simplistik oleh segelintir anak muda untuk bertindak dengan cara yang sama atas alasan pemimpin politik juga melakukannya. Ketika itu anak muda tidak wajar disalahkan seratus peratus dek sikap buruk segelintir pemimpin politik.

MBM suka memperingatkan pemimpin politik bahawa generasi muda sentiasa memerhati gelagat mereka yang di atas, justeru amatlah wajar pemimpin menampilkan akhlak terpuji bersesuaian dengan rukun Kesopanan dan Kesusilaan Rukunegara, akhlak agama, adat Melayu, adat ketimuran dan nilai Asia.

Pemimpin politik juga perlu memainkan peranan yang mereka sering lupakan iaitu sebagai pendidik yang bertanggungjawab mendidik ahli politik muda, belia dan masyarakat awam menjadi warga yang berbudaya tamadun tinggi dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

MBM menyeru kepada belia dan masyarakat kembali menghayati dan mengamalkan Rukunegara sebagai asas perpaduan dan keharmonian Negara.

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 26 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »