KUALA LUMPUR 3 Jun — Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersyukur kerana Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama dilindungi daripada sengketa dan kekacauan.
Baginda dalam titah ucapan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong esok, bertitah bahawa rakyat negara ini telah sama-sama membuktikan bahawa walaupun berbeza agama, budaya dan cara hidup, mereka masih dapat tinggal bersama dalam keadaan aman sentosa dan saling menghormati.
Namun, titah baginda, masih ada pihak yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman dengan membangkitkan isu-isu sensitif bagi agenda peribadi mereka.
“Beta yakin, rakyat Beta yang cintakan perpaduan tidak akan mudah terpengaruh dengan hasutan ini dan Beta mahu rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan ini demi kesejahteraan tanah air yang tercinta ini,” titah baginda dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
“Keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi pada hari ini bukanlah datang bergolek malah hanya dapat dikekalkan dengan perpaduan dan kerjasama di antara semua warga tanpa mengira kaum dan agama,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa syukur kerana untuk tempoh setahun yang lalu, Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan sentosa tanpa huru-hara yang mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat.
Namun titah baginda, negara sedikit terjejas dengan masalah kegawatan ekonomi global yang melanda dengan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa di mana fenomena tersebut berlaku di luar kawalan.
Baginda merakamkan rasa sukacita kerana kerajaan terus mengekalkan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair kepada harga semasa.
“Sesungguhnya Beta berharap agar keputusan ini dapat mengurangkan beban rakyat dalam perbelanjaan harian,” titah baginda.
Seri Paduka juga berharap agar dengan pengekalan harga minyak itu, tidak ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan keperluan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
Dalam pada itu, baginda mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
“Beta juga percaya, setiap dari musibah yang berlaku itu ada terselindung rahmat di sebaliknya, naluri kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan sejagat jelas terpancar tatkala kejadian itu melanda, rakyat Malaysia telah sama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai aspek kepada mangsa-mangsa yang terlibat,” titah baginda.
Baginda bertitah ia merupakan satu semangat dan penghayatan nilai-nilai murni yang amat tinggi dan berharap agar segala usaha tersebut akan sentiasa diamalkan dan mendapat rahmat dan diberkati Allah SWT.
“Walau bagaimanapun, Beta mengingatkan agar rakyat sentiasa berwaspada dan memberi kerjasama kepada kerajaan untuk melindungi negara daripada kejadian bencana alam ini pada masa-masa akan datang,” titah baginda.
Baginda bersyukur atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecapi oleh negara selama ini dan berharap kesejahteraan negara di bawah gagasan 1Malaysia akan berterusan, di mana rakyat yang didorong oleh semangat kesatuan akan dapat menggembleng tenaga untuk menghasilkan pencapaian yang lebih baik dalam pelbagai bidang. – BERNAMA