Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my
2010/08/21
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang bergiat cergas menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat luar bandar, kini berusaha mengumpul dana membantu pendidikan kanak-kanak Gaza menerusi Tabung Pendidikan dan Kebajikan Kemanusiaan Palestin.
Tabung yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) dan ABIM pada 2 Ogos lalu baru-baru ini kini berjaya mengumpul sejumlah dana berjumlah kira-kira RM25,000 dan jumlah itu dijangka meningkat dengan usaha berterusan daripada pihak ABIM.
Presidennya, Muhamad Razak Idris (gambar), berkata kutipan dana itu akan diberikan kepada mereka untuk pendidikan kanak-kanak Gaza di dua sekolah bagi membeli kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut dan beg.
“Kita akan membawa tabung ini ke surau dan masjid sepanjang Ramadan ini dan beberapa tempat awam lain bagi membolehkan orang ramai dapat menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan. Kita mensasarkan dapat mengumpul sejumlah RM120,000 menerusi tabung ini.
“Bagaimanapun, sekiranya dana yang berjaya dikutip tidak mencecah jumlah disasarkan, kita akan agihkan dulu jumlah yang ada supaya kanak-kanak di Semenanjung Gaza dapat bersekolah seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Kutipan Tabung Pendidikan dan Kebajikan Kemanusiaan peringkat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).
Ia diadakan serentak dengan Majlis Berbuka Puasa anjuran Badan Khairat NSTP yang dirasmikan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid, di sini, semalam.
Sementara itu, Mior dalam ucapannya, berharap warga NSTP akan memberi sumbangan terhadap usaha murni ABIM bagi merealisasikan matlamat membantu kanak-kanak Palestin.