KLANG: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan agar ASEAN menilai semula dasar tidak campur tangannya bagi mengatasi krisis pendatang Rohingya. Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain perlu campur tangan dalam isu itu serta memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar agar mengiktiraf hak serta memberikan kerakyatan kepada etnik Rohingya sebagai jalan penyelesaian bagi krisis kemanusiaan paling besar melanda rantau ini sejak perang Vietnam. “Keputusan bersama Malaysia dan Indonesia baru-baru ini untuk memberi perlindungan sementara kepada etnik Rohingya adalah keputusan yang wajar, bagaimanapun, ia hanyalah bersifat sementara dan tidak akan menyelesaikan krisis ini yang berpunca daripada keengganan Myammar untuk mengiktiraf hak dan kerakyatan etnik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan bantuan barang makanan dan wang tunai oleh Muslim Charity United Kingdom (UK) kepada kira-kira 150 keluarga etnik Rohingya di Pusat Pendidikan Rohingya di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Program dan Polisi Muslim Charity UK, Irfan Rajput dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Mohd Halimi Abdul Hamid. – BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/56482