KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA
“MBM MENYOKONG USAHA MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT DALAM BAJET 2016”
Majlis Belia Malaysia (MBM) meyambut baik Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat” berdasarkan lima keutamaan seperti memperteguh ketahanan ekonomi negara, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, mempersiaga modal insan, memperkasa agenda bumiputra dan meringankan kos sara hidup rakyat.
MBM berpendapat Bajet 2016 yang dibentangkan ini benar-benar bertepatan pada suasana, masa dan kedudukan ekonomi semasa. MBM optimis peruntukan keseluruhan berjumlah 267.2 billion ringgit mampu diterjemah kepada memenuhi kehendak rakyat. ia memperkukuh keperluan domestik melalui inisiatif yang diberikan oleh kerajaan demi meneruskan pertumbuhan ekonomi Negara.
Pertama : MBM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana enam daripada tujuh perkara dalam memorandum Majlis Belia Malaysia kepada pihak kerajaan yang dihantar melalui Majlis Konsultasi Bajet Negara telah dimasukkan di dalam bajet 2016. Enam cadangan yang dimasukkan ke dalam bajet 2016 tersebut adalah:
- Keusahawanan sosial
- Pekerja industri / mahir (TVET)
- Penyelidikan dan pembangunan (Inovasi)
- Pemerkasaan NGO Belia
- Skim perumahan
- Penerapan nilai
Kedua : MBM menyambut baik dan menyokong pengisytiharan tahun 2016 sebagai ‘Tahun Pengkomersialan Malaysia’. Pengisytiharan ini mendorong kepada pemerkasaan serta pengukuhan ekonomi domestik yang berorentasikan rakyat dan dipacu oleh kerajaan.
Ia bakal memberikan impak positif kepada usaha inovasi, pengikhtirafan kepada daya kreativiti dan merancakkan keusahawanan sosial dalam masyarakat. Strategi ini penting agar seluruh lapisan masyarakat memartabatkan kemampuan insan dan dijadikan asas mensejahterakan rakyat.
Ketiga : Golongan Belia yang merupakan kelompok terbesar dan masa depan negara mendapat perhatian besar dalam Bajet 2016 ini. Pembangunan watak dan kompentensi belia terus diberi perhatian melalui biasiswa dan bantuan pendidikan (1.65 billion kepada JPA, 288 juta kepada KPM, 250 juta kepada KPT dan 258 juta kepada KKM, 350 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran).
Selain itu program pembangunan kemahiran dan TVET sebanyak 4.8 billion, 280 juta untuk IKBN serta bantuan pendidikan lain seperti Baucer Buku dapat memacu pembangunan pendidikan generasi muda.
Keempat : Bajet 2016 memberi penekanan menjana pendapatan dan kompentensi belia melalui program keusahawanan merekalah kelompok produktif, kreatif dan energetik bagi menggerakkan ekonomi Negara.
Ini dinyatakan di bawah MaGIC (35 juta) program keusahawanan generasi muda (30 juta), Program Pembanguanan Agropreneur Muda (90 juta) dan 50 juta untuk aktiviti pembangunan belia untuk ekonomi dan keusahawanan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Kelima : Belia dan ICT serta telekomunikasi tidak dapat dipisahkan kerana mereka adalah pengguna terbesar. Bajet 2016 ini memberi jawapan kepada isu kad prabayar (topup) yang membelenggu golongan ini.
Peningkatan kelajuan internet luar bandar dari 5mbs kepada 20mbs menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada golongan belia khususnya mereka yang berada di luar bandar.
Keenam : Pemerkasaan NGO yang disentuh pada Bajet 2016 memberikan harapan besar dalam membina masyarakat yang sejahtera. NGO termasuk pergerakan belia merupakan element penting dalam membantu kerajaan membina masyarakat khususnya golongan belia.
Peruntukan 160 juta bagi NGO melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan dapat membantu usaha ‘Mensejahterakan Kehidupan Rakyat”.
Ketujuh : Golongan B40 yang merupakan 40% populasi rakyat Malaysia termasuk kelompok orang asli dan kelompok terbawa mendapat perhatian kerajaan untuk diperkasakan. MBM menyokong usaha ini kerana di samping kita ghairah membangun negara, usaha membangun kelompok ini tidak ditinggalkan.
Melalui inisiatif program TEKUN, AIM dan program latihan memulakan perniagaan dan peningkatan kemahiran ia merupakan langkah berterusan mensejahtera rakyat terbawah.
Kelapan: MBM sangat menyambut baik peruntukan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO sebanyak 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam menggerakkan aktiviti pendidikan kemahiran IKBN, ekonomi dan keusahawanan belia, pembangunan sukan dan transformasi PLKN.
MBM meyakini peruntukan untuk pembangunan belia yang juga merentas kementerian dan agensi sebagimana yang telah disebutkan di atas, mampu memberi impak mensejahterakan kehidupan belia Malaysia.
Akhirnya MBM menyambut baik Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang menyatakan komitmen pembangunan bersifat inklusif dan bertanggungjawab. MBM optimis bahawa gandingan antara penyataan hasrat kerajaan melalui Bajet 2016 dan dokongan agensi pelaksana serta organisasi massa mampu menatijahkan kesan terbaik.
MBM mengajak seluruh gerakan belia dan golongan belia bersama dalam membina Malaysia yang kompetatif, progresif, bersahsiah dan berakhlak mulia berteraskan masyarakat yang bersatu padu demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat.
Sekian. Terima kasih.
HAJI MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 23 Oktober 2015