8T: 8 TIPS PENULISAN PROFESIONAL
Oleh:
JUFITRI JOHA
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia
&
MUHAMMAD KAMIL YAZID
JK Sekretariat Penulis MBM
Pensyarah Universiti Tenikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Madya Dr. Sabri Sharif berkongsi sewaktu Bengkel Penulisan JK Pendidikan & Penyelidikan MBM pada Sabtu lalu. Ternyata tips yang dikongsi beliau benar-benar mendukung semangat membugar budaya keilmuan, budaya yang juga diangkat sebagai sebuah aspirasi besar dalam konsep 1Malaysia.
Dr. Sabri juga bukanlah asing di dalam dunia pergerakan belia dan mahasiswa kerana beliau pernah terlibat aktif dalam Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Selain tugas hakiki di UTeM, beliau bertugas sebagai penyelidik dan penulis teks ucapan Perdana Menteri. Ini merupakan suatu pengalaman yang amat besar dalam dunia penyelidikan dan penulisan beliau kerana terlibat dalam menyumbang kepada polisi dan masa depan Negara. Beliau turut menghasilkan beberapa karya termasuk buku Generasi Ulul Albab dan Kesetiaan Sepanjang Hayat.
Budaya ilmu, menurut Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud, penulis buku Budaya Ilmu adalah kewujudan keadaan setiap lapisan masyarakat melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan. Bagi pencinta ilmu, penulisan sentiasa menjadi semangat baru yang mengungkap pembacaan ilmiah, hasil renungan, daya fikir dan cetusan hati nurani.
Tips yang disampaikan penceramah, walau ia kelihatan kecil dan simple tetapi amat besar dari mesej dan maksudnya. Berikut adalah 8 tips utama dikongsikan oleh beliau, bersama sedikit huraian kerdil oleh penulis.
- TULIS
Ya! Inilah tips pertama dan utama. Anda perlu mula menulis. Tulisan tidak akan tercoret dengan hanya angan-angan dan harapan, tetapi pada pelaksanaan kata-kata.
Keinginan boleh terungkap, tetapi memerlukan keberanian. Keberanian untuk melangkah, memulakan penulisan, adalah keberanian yang dimiliki oleh jiwa yang besar.
Memetik pepatah yang diungkapkan oleh tokoh sufi terkenal Imam Ibnu Atoillah as-Sakandari, من أشرقت بدايته، أشرقت نهايته yang bermaksud, barangsiapa yang bersinar di permulaannya, akan bersinar juga di pengakhirannya. Justeru, mulalah menulis!
- TERUS TULIS
Ia tidak boleh berhenti setakat mula menulis. Ia perlu diteruskan, dengan kecekalan dalam menulis. Fasa ini akan menguji disiplin para penulis untuk menyelesaikan sesebuah penulisan dengan teratur.
Berusaha untuk terus menulis akan memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi. Ibn Rajab Al-Hanbali, penulis Kitab Jami’ al-Ulum wa al-Hikam yang terkenal menyatakan bahawa kecekalan (istiqamah) adalah menempuh jalan dengan tidak berpaling ke kiri kanan. Ia dilakukan secara berfokus dan konsisten.
Adalah baik sekiranya ia dilakukan secara berterusan walaupun kuantitinya sederhana. Daripada yang sederhana ini, sedikit demi sedikit dapat ditambahkan hingga menjadi penulisan yang berisi dan berimpak tinggi.
- TELAAH
Di dalam sesebuah penulisan, intisari memainkan peranan sangat penting yang menentukan kualiti penulisan tersebut.
Isi kepada sesebuah penulisan ibarat zat yang akan dihadam oleh pembacanya. Penulisan adalah medium menyampaikan maklumat yang benar dan bermanfaat. Gejala ‘mengilmiahkan’ kepalsuan, kata Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjelma dalam kegilaan merebut habuan kebendaan, justeru harus dijauhi.
Penulis harus belajar setia kepada misi dan moral kecendekiawanan. Harus sentiasa menelaah dan memperkaya bahan bacaan agar baik inti penulisan yang dihasilkan dan dapat diambil manfaatnya.
- TAAKUL
Menulis adalah upaya untuk menyampaikan. Mesej-mesej yang dikandung oleh coret penulisan akan singgah bukan hanya di bola mata yang membaca, tetapi di nalar fikir yang geliga, justeru memerlukan kepada penaakulan yang baik.
Taakul diertikan sebagai perihal membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal. Dengan cara inilah kita dapat mengembangkan kemampuan dan keluasan gerak fikir manusia ke tahap yang lebih tinggi.
Dengan penaakulan yang baik, matang dan pertimbangan yang adil inilah kita dapat membuahkan wacana dan buah fikir yang segar untuk dipersembahkan kepada pembaca.
- TOK GURU (MENTOR)
Rasanya sukar untuk seseorang menulis tanpa duduk di bawah naungan teduh didikan dan bimbingan seorang mentor. Maka kita memerlukan kepada sosok peribadi mithali, buat menjadi rujukan dan ikutan. Di dalam dunia pembangunan belia pementoren adalah kaedah terbaik untuk membimbing dan menyerlahkan potensi belia. Sudah tentu juga penyerlahan potensi belia di dalam dunia penulisan dimainkan peranannya oleh seorang mentor yang berpengalaman dan banyak menghasilkan karya-karya bermutu.
Seorang mentor atau tok guru selalu diibaratkan sebagai lilin atau pelita, sebuah perbandingan tepat yang menunjukkan fungsi pencerahan yang dibawa oleh guru tersebut. Pencerahan dari keadaan jahil-gelap gelita kepada keadaan bersinar cahaya terang benderang, menerangi masyarakat keseluruhannya.
Justeru dengan berguru (mentoring) akan banyak membantu, bukan hanya dalam mencungkil bakat menulis, tetapi juga adab dan etika sebagai seorang pencinta ilmu.
- TEKUN
Upaya menulis adalah sebuah amal bakti yang sifatnya berterusan. Penulisan akan secara berterusan dibaca, dibaca dan terus dibaca. Kerana itu, Pramoedya Ananta Toer, novelis terkenal Indonesia menyinggung kita dengan berkata, “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan daripada sejarah”.
Dr. Sabri dalam perihal ini beliau mengambil contoh ketekunan Galelio Galilei, ahli falsafah zaman Renaissance menulis kajian beliau dalam ilmu angkasa, walaupun ditekan dan dipenjara kerana dianggap bertentangan dengan pemahaman gereja ketika itu. Ironinya, penulisan beliau tentang heliocentrism akhirnya diakui benar dan digunakan sebagai rujukan sehingga hari ini.
Justeru kita perlu tekun menulis. Ambillah motivasi daripada para penulis prolifik lain, seperti JK Rowling yang awalnya berhadapan pelbagai masalah kekeluargaan dan kewangan. Tetapi kemudiannya tampil dengan manuskrip Harry Potter yang sangat imaginatif itu, seolah-olah memadam bersih episod hitam hidupnya.
- TRAINING (LATIHAN)
Dalam menajamkan kemahiran menulis, upaya tersebut harus sentiasa ditajamkan. Justeru kita boleh memanfaatkan sama ada dengan mengulas isu-isu semasa, menukil karya-karya sastera dan usahakannya supaya termuat di pojok-pojok akhbar atau majalah.
Pertandingan penulisan juga ruang yang sangat baik untuk penulis mengembangkan bakat. Dengan menganggap ia sebagai sebuah ruang mengasah kemahiran, pastinya bukan hadiah menjadi sandaran utama. Sebaliknya pengalaman dan kemahiran yang semakin halus dalam menulis, adalah harga termahal yang dibayar bagi mengembangkan bakat.
- TAWAKKAL
Dalam konteks penulis, mentaliti tawakkal wajar diutarakan sebagai upaya akhir menumbuh tekad selepas usaha mengarang karya sendiri. Tawakkal tidak sewajarnya menjadi dalih untuk keengganan berusaha dan melepas tanggungjawab, sebaliknya ia adalah mentaliti yang memberi semangat untuk menumbuh tekad terus berkarya – demi membangunkan generasi berilmu.
Penulisan bukan hanya untuk kepuasan diri semata-mata, tetapi sebagai usaha menajam intelek dan daya fikir, menyubur cinta dan keinsanan didalam jiwa pembaca.
Ia adalah pelaburan jangka masa panjang, yang hasilnya tidak hanya dapat dituai secara terus, tetapi dimanfaatkan dan dicerna untuk generasi mendatang. Kerana kata Helvy Tiana Rosa, karyawan Indonesia;
“Menulis adalah memahat peradaban”.
Demikian secebis catatan yang sempat diabadikan sempena Bengkel Penulisan yang dianjurkan oleh JK Pendidikan dan Penyelidikan MBM pada 9 September 2017 yang lalu di Bangi dengan kerjasama Sekolah Pembangunan Kerja Belia (SPKB) dan Akademi Intelektual Muda (AIM).
MBM telah pun membentuk pasukan penulis MBM dan bengkel penulisan ini adalah sebahagian usaha melatih pasukan penulis ini. Pasukan penulis membentuk Sekretariat Penulis MBM yang dikoordinasikan oleh saudara Muhamad Hanapi Jamaludin. Setelah kejayaan menghasilkan buku Tokoh Belia Milenia pada tahun 2017, MBM akan terus berusaha bagi menghasilkan lebih banyak karya yang memperkayakan lagi literatur dalam dunia pergerakan dan pembangunan belia bersempena sambutan 70 tahun MBM pada 2018.