NIBONG TEBAL 15 Mei 2011 – Lebih 6,000 pengunjung terutamanya golongan belia membanjiri pekarangan Kompleks Dewan Perda, Sungai Acheh di sini bagi memeriahkan Karnival Hari Belia Negara 2011 peringkat negeri hari ini.
Karnival dua hari bermula semalam itu turut menghimpunkan persatuan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan pelbagai aktiviti selain penglibatan agensi serta jabatan kerajaan.
Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.
Turut hadir Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunos; Pengarah Belia dan Sukan Negeri, Abd. Jalil A. Rashid dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah pertandingan nasyid, kejohanan futsal 1Malaysia, larian komuniti, pertandingan motosikal berkuasa tinggi, persembahan kebudayaan serta pameran agensi kerajaan dan swasta.
Sempena karnival itu juga, 500 naskhah akhbar Mingguan Malaysia tajaan Jabatan Belia dan Sukan negeri diedarkan kepada para pengunjung.
Sementara itu, Zainal Abidin dalam ucapannya berkata, penganjuran karnival tersebut adalah satu manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan belia dalam proses pembangunan negara.
Kerajaan juga katanya, begitu komited untuk terus menyuburkan program-program berteraskan belia khususnya di kawasan luar bandar bagi mengukuhkan peranan golongan itu sebagai pemangkin kepada proses transformasi yang sedang giat dijalankan.