KUALA LUMPUR 14 Sept. – Lebih 5,000 orang umat Islam hadir pada program Malam Cinta Rasul Kuala Selangor Berselawat semalam yang turut bertujuan menyerikan lagi Program Road To Maha 2014 di kawasan Parlimen itu.
Program selawat itu bagi memperingati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan pesawat MH17 yang masih menyelubungi kesedihan rakyat di negara ini.
Presiden Majlis Belia Selangor yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, program yang berjaya menarik penyertaan generasi muda itu memperlihatkan keutuhan jati diri masyarakat bersandarkan penghayatan agama Islam.
“Penganjuran buat julung kali di Kuala Selangor ini seakan penganjuran Selawat Perdana di Putrajaya sebelum ini yang pernah dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kehadiran dalam 5,000 orang terutamanya generasi muda memperlihatkan bahawa keutuhan jati diri dan patriotisme kini banyak disandarkan dengan penghayatan agama serta berselawat kepada junjungan Rasulullah SAW,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Program yang diadakan di Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di sini itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Selangor, Marwan Ahmad; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Fauzi Hashim dan Ketua Puteri Kuala Selangor, Zulimah Mukid.
Menurut Irmohizam, beliau berbangga menyaksikan generasi muda dapat menyertai program Kuala Selangor Berselawat itu kerana secara rutinnya program sambutan Road to Maha adalah malam kugiran.
“Program Kuala Selangor Berselawat ini diharap dapat mengukuhkan lagi perpaduan utuh dalam kalangan umat Islam di negeri Selangor dan daerah Kuala Selangor,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd