PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Malaysia mengecam keputusan terburu-buru Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bertegas menurunkan had usia maksimum belia.
Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, tindakan tergesa-gesa itu malah dikesali kerana dibuat tanpa ada apa-apa soal selidik dengan kepimpinan badan belia sendiri.
“Kami mendapati cadangan menteri berpandukan data yang jauh tersasar daripada keadaan sebenar untuk menjustifikasikan penurunan had umur tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Isu berkenaan mula tercetus ketika menteri era kerajaan Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada 2019 lalu, namun dibantah keras banyak organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun berbanding cadangan asalnya hanya setakat 35 tahun.
Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dilaksanakan ketika kementerian itu diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetapi diteruskan apabila diambil alih Ahmad Faizal pula.
Mengulas lanjut, Fahami Ashrof dalam nada kesal berkata, pengumuman penurunan had usia itu bermula 1 Januari depan amat pelik kerana sengaja dilaksanakan tanpa kajian mendalam sekali gus menuntut Menteri membentangkan data terperinci kononnya 40 peratus pemimpin badan belia ketika ini bawah 30 tahun kerana statistik itu sangat diragui kesahihannya.
Meskipun menyambut baik perubahan pelaksanaan had umur maksimum itu, namun usaha tersebut perlu dilakukan dengan teratur di samping mengambil kira pelbagai faktor realiti semasa apatah lagi jika dibuat agak drastik, ia dibimbangi boleh menjejaskan kesinambungan kepimpinan yang sudah terlatih sedia ada kerana kebanyakan pelapis berusia lebih 30 tahun.
Situasi ini jelasnya, disebabkan ramai belia generasi baharu hanya aktif berpersatuan selepas tamat graduasi dan ada pendapatan stabil setelah mereka mempunyai kerjaya dan berkahwin.
“Justeru, 4B merasakan bahawa had umur lebih bersesuaian untuk dikurangkan ialah setakat 35 tahun dan bukannya 30 tahun kerana dianggap masih terlalu muda,” kata Fahami Ashrof.
Artikel penuh :