SEREMBAN 14 Mei 212 – Sebanyak 42 program menarik disediakan sepanjang penganjuran Sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Sembilan 2012 yang akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini mulai Jumaat hingga Ahad ini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali berkata, sambutan tiga hari itu bakal dihangatkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti membabitkan persembahan, pertandingan, ekspo, karnival, konvoi dan pameran.
”Antara pengisian sambutan ini termasuk penganjuran pameran gajet dan telefon, ekspo usahawan belia, karnival sukan bermotor seperti kursus go-kart, motosikal mini, Advance Riding dan Sirkit Motocross.
”Kita juga menganjurkan pelbagai pertandingan seperti snooker, petanque, bola keranjang kerusi roda, bola keranjang 3 on 3, kompang, timbang bola, sukan tradisional, boling padang orang kurang upaya (OKU), sepak takraw, bola jaring, bola tampar dan futsal Piala Menteri Besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.
Katanya, sambutan itu turut akan dimeriahkan dengan persembahan artis, pameran agensi kerajaan dan senamrobik perdana.
”Kami menyasarkan kehadiran belia yang besar bagi memeriahkan sambutan di kompleks ini nanti, kami berharap orang ramai terutamanya golongan muda dapat meluangkan masa hujung minggu mereka di sini,” ujarnya.
Tambah Baharudin, antara acara menarik yang bakal menarik tumpuan pengunjung adalah menerusi aktiviti menaiki belon panas yang akan diadakan di padang kompleks ini.
”Kita juga turut memberi peluang kepada anak-anak muda merasai serta menimba pengalaman menaiki kuda,” jelasnya.
Jelasnya lagi, acara kemuncak sambutan tersebut akan diadakan pada hari Sabtu ini, ia akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
”Amanat kepada belia akan disampaikan oleh Menteri Besar pada hari pelancarannya,” katanya.