MAJLIS BELIA MALAYSIA

406 pertubuhan belia terima bantuan RM1.29 juta

KUALA TERENGGANU 18 Mei 2011 – Sebanyak 406 pertubuhan belia yang berdaftar di negeri ini akan menerima bantuan berjumlah RM1.29 juta sempena sambutan Hari Belia peringkat negeri di Padang Astaka Kuala Berang di sini esok.

Bantuan pentadbiran itu meliputi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) sebanyak RM50,000 dan 19 buah persatuan belia peringkat negeri dan majlis belia daerah yang bergabung dengan MBNT masing-masing akan menerima RM8,000.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, sebanyak 55 buah persatuan di peringkat daerah masing-masing akan menerima RM3,000 dan 331 persatuan di peringkat cawangan pula sebanyak RM2,000.

Menurut beliau, peruntukan daripada kerajaan Pusat itu dapat membantu meningkatkan lagi kegiatan dan kualiti persatuan dalam usaha melahirkan belia yang inovatif dan cemerlang.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri 2011 di RTM Kuala Terengganu di sini, semalam.

Rozi berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan merasmikan sambutan tersebut dan seterusnya menyampaikan cek bantuan pentadbiran.

”Seramai 10,000 belia daripada seluruh negeri akan berhimpun di Padang Astaka sempena sambutan Hari Belia pada tahun ini yang bertemakan Pemangkin Transformasi,” ujar beliau.

Beliau menambah, sambutan selama dua hari itu akan dimeriahkan dengan 25 acara termasuklah karnival sukan tradisional, liga sukan untuk semua, perkhemahan transformasi belia, senamrobik dan konvoi belia bermotosikal.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »