KUALA NERUS 27 Jun – Program Bakti Belia MADANI Peringkat Negeri Terengganu melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdri. Jessy Ng di Pentas Budaya, Pantai Teluk Ketapang.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Jun 2026 di Kampung Teluk Ketapang itu dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu dengan kerjasama MBM dan Kementerian Belia dan Sukan di bawah segmen Rakan Muda – Rakan Prihatin.
Seramai 40 peserta yang terdiri daripada belia dan pelajar dari Terengganu, Kelantan, Sabah serta Kuala Lumpur telah menyertai program ini. Sepanjang pelaksanaannya, para peserta ditempatkan bersama 15 keluarga angkat yang kebanyakannya merupakan keluarga nelayan bagi memberi peluang merasai sendiri kehidupan masyarakat setempat serta menghayati nilai kebersamaan dalam komuniti.
Pelbagai aktiviti berteraskan khidmat masyarakat dan pembangunan sahsiah telah dilaksanakan termasuk ziarah kasih, gotong-royong komuniti, menjala ikan di pantai, menyusuri Sungai Nerus dengan bot, program silang budaya serta pelbagai aktiviti bersama keluarga angkat. Pengisian ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara peserta dan komuniti, malah memupuk semangat kesukarelawanan, keprihatinan serta perpaduan dalam kalangan belia.
Program Bakti Belia MADANI diharap terus menjadi platform berkesan dalam melahirkan generasi muda yang cakna terhadap masyarakat, berjiwa sukarelawan serta menghayati nilai MADANI melalui pengalaman turun padang dan penglibatan secara langsung bersama komuniti setempat.





































































