KUALA LUMPUR 26 Feb – Seramai 24 pelatih dari Asrama Bahagia Kuala Lumpur lulus program “Aku Luar Biasa” anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja.
Program itu adalah perkhidmatan sokongan psikologi yang membantu peserta bangkit semula sambil memperoleh keyakinan dan menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara.
Ia adalah kesinambungan daripada program Inspirasi Belia dengan modul yang dikemas kini dan dipertingkatkan mengenai ketagihan dan pengurusan kesihatan mental.
Program ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Green Crescent Malaysia, Rahmah Support Team -RST dan Projek Belia Mahir.
Asrama Bahagia Kuala Lumpur di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dipilih untuk projek perintis program tersebut bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan penjagaan diri dan pengurusan emosi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim hadir menyampaikan sijil kepada pelatih-pelatih tersebut dalam majlis graduasi bagi meraikan mereka yang menjalani program selama enam bulan yang diadakan dari September 2022 hingga Februari 2023.
“Saya yakin dengan potensi yang berjaya dicungkil menerusi program ini.
“Setiap peserta akan dapat mengembangkan keupayaan mereka dan menempatkan diri mereka dalam pasaran kerja yang boleh memberikan faedah dan pengalaman kewangan.
“Melalui program itu, para peserta telah memperoleh peluang kedua dalam hidup yang boleh mengubah perjalanan hidup mereka dengan masa depan yang lebih cerah,” katanya sewaktu merasmikan program ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Encik Che Samsuzuki Che Noh dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Datin Dr. Haliza Abd Manaf.
Penutup kepada program ini ialah sesi Interaktif Keluarga yang telah dijalankan selama 2 hari 1 malam yang melibatkan ibu bapa pelatih bagi mempersiapkan keluarga sebagai kumpulan sokongan utama kepada pelatih selepas tamat tempoh.
Terima kasih YB Timbalan Menteri dan KSU KBS yang bersama dalam majlis ini.
Tahniah kepada semua pelatih, semoga anda menjadi insan yang lebih hebat buat keluarga, diri, masyarakat mahupun negara!

























































































































