Siem Reap, Kemboja 25 Ogos 2016 –Sempena 21st ASEAN Youth Day Meeting (AYDM), ASEAN Youth Award dan The Accomplished Youth Organizations Awards in ASEAN (TAYO) Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah menghantar belia Malaysia bagi menyertai penganugerahan tersebut yang berlangsung pada 25 hingga 26 Ogos 2016 di Siem Reap, Cambodia.
Sdr. Mohd Syahbuddin bin Hashim, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga penerima Anugerah Belia Negara 2016 dicalonkan bagi Anugerah Belia ASEAN 2016 bersama dengan 9 orang lagi belia yang terpilih bagi menerima anugerah tersebut.
Dalam majlis sama, Sdr. Nor Azman bin Yahaya yang mewakili Persatuan Belia 4B Baling (Penerima Anugerah Persatuan Belia Terbaik Hari Belia Negara 2016) pula dicalonkan bagi Anugerah TAYO bagi Kategori Persatuan.
Kedua-dua anugerah ini adalah pengiktirafan dari Sekretariat ASEAN kepada kesemua belia sama ada individu atau persatuan bagi menghargai kerja-kerja belia atau kesukarelaan yang telah bersama-sama membantu dari segi pembangunan belia di negara masing-masing dan juga serantau.
Anugerah tersebut disampaikan sempena 21st ASEAN Youth Day Meeting (AYDM), ASEAN Youth Award dan The Accomplished Youth Organizations Awards in ASEAN (TAYO) yang berlangsung pada 25 hingga 26 Ogos 2016 di Siem Reap, Cambodia. Program yang dihoskan oleh Kemboja selaku tuan rumah ini turut menganjurkan 8th ASEAN Senior Official Meeting on Youth (SOMY) yang dihadiri oleh menteri-menteri belia ASEAN bagi membincangkan isu belia serantau, laporan berkaitan aktiviti belia di negara-negara anggota ASEAN serta perbincangan mengenai Pelan Kerja ASEAN mengenai Belia (ASEAN Work Plan on Youth) 2016-2020.
Calon-calon yang dipilih adalah mereka yang diiktiraf dan telah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan yang melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menerima penganugerahan TAYO ASEAN Award iaitu anugerah belia tertinggi peringkat ASEAN.
Turut serta dalam delegasi Malaysia ini ialah Sdr. Jufitri Joha, Naib Presiden MBM yang merupakan bekas pemenang Anugerah Tokoh Belia ASEAN 2014, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Ahli Jawatankuasa Kerja MBM dan Sdri. Norzulaiqha binti Zulkifli, Ahli Parlimen Belia Malaysia untuk berkongsi pengalaman di samping memberi sokongan kepada peserta Malaysia.