PUTRAJAYA 16 Nov. – Penyelarasan had umur belia mengikut penakrifan antarabangsa akan dilaksanakan pada tahun 2020 apabila negara mencapai status negara maju, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek hari ini.
Beliau berkata, ini adalah kerana Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 yang menetapkan had umur belia di negara ini di bawah 40 tahun, baru dilaksanakan dan masih berlaku lompang yang besar pada kalangan persatuan belia.
“Kalau baru selesai (pinda akta) dan tiba-tiba kita kata mereka yang berumur 40 tahun ke bawah tak boleh menjadi pemimpin dan anggota belia, ia akan menimbulkan satu masalah baru kepada persatuan belia.
“Maka, kita memberi tempoh sembilan tahun untuk mempersiapkan golongan baru supaya boleh menjadi pemimpin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II Penggal Ke-28 Tahun 2011-2012 di sini hari ini.
Mengikut penakrifan antarabangsa, had umur belia ditetapkan sehingga 25 tahun, kata Shabery.
Katanya, namun begitu penyelarasan had umur belia mengikut penakrifan antarabangsa akan diperinci sekiranya memerlukan perubahan akta. – Bernama