MAJLIS BELIA MALAYSIA

20 penuntut IPTA, YAS berkampung di Post Pantos

CAMERON HIGHLANDS 19 Jun 2012 – Seramai 20 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyertai lawatan sehari dan program kerja amal di Pusat Penempatan Orang Asli Pos Pantos, dekat sini baru-baru ini.

Penuntut berkenaan yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam, Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan sukarelawan yang berdaftar di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM).

Kunjungan itu juga sempena Program Komuniti di bawah penyelengaraan Yayasan Antarabangsa Singapura (YAS) turut membantu seramai 174 keluarga Orang Asli etnik Semai menguruskan air bersih bagi keperluan harian.

Penuntut negara ini sempat berkongsi pengetahuan dan kemahiran mengenai pengurusan air bersih dengan mahasiswa bidang Sains, Teknikal, Alam Sekitar dan Geologi, dari universiti dan politeknik terkemuka di Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Myanmar.

Semasa kunjungan ke rumah Orang Asli berkenaan, ahli rombongan turut memasang penapis di kepala paip bagi membolehkan penghuni berkenaan memperoleh air bersih bagi keperluan minuman dan masakan.

Majlis suai kenal dan program Kenali Orang Asli Pantos turut diadakan dengan membabitkan penuntut tempatan dan antarabangsa bersama penduduk yang turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S.K Devamany.

Exco MBM, Ahmad Daniar Ismail, 32, berkata, program itu merupakan kolaborasi antara MBM dengan YAS bertujuan menerapkan kesedaran dan perkongsian bijak di kalangan penuntut antarabangsa dan negara ini.

“Sebagai sukarelawan, kita (MBM) mendidik penuntut melaksanakan kerangka hubungan antarabangsa dengan penuntut negara lain khususnya berkongsi pengalaman dan kemahiran sesuatu bidang pengajian.

“Orang Asli Pantos merupakan etnik yang menjadi perintis memperoleh pengetahuan penyelengaraan air bersih di kediaman masing-masing menerusi khidmat bantu teknikal dan nasihat penuntut tempatan dan sukarelawan YAS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Devamany berkata, lawatan penuntut terbabit dapat mendekatkan hubungan diplomatik yang terjalin menerusi pendidikan, kesihatan, kebudayaan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Kedutaan Singapura yang menguruskan lawatan sukarelawan YAS kerana dapat menjalinkan hubungan erat dengan negara ini khususnya sesama penuntut berkenaan,” ujarnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »