MAJLIS BELIA MALAYSIA

2.4j hadir Himpunan Jutaan Belia

PUTRAJAYA 28 Mei 2012 – Himpunan Jutaan Belia sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2012 yang diadakan selama lima hari bermula 23 Mei lalu berjaya mencatatkan kehadiran seramai 2.4 juta orang.

Jumlah itu sekali gus mengatasi sasaran awal pengunjung iaitu seramai dua juta orang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah itu tidak melibatkan penyertaan belia dalam segmen-segmen yang diadakan jauh dari Persiaran Perdana yang menjadi pusat sambutan himpunan tersebut.

“Acara tersebut seperti memancing, drag, paintball dan futsal masih dalam penelitian akhir pihak urus setia HBN 2012.

“Tetapi secara keseluruhan, daripada semua aspek penganjuran HBN 2012, saya berbesar hati dan sukacita mengumumkan penganjuran acara yang dianggap terbesar di dunia ini telah mencapai sasaran kehadiran belia yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung rumusan laporan awal sempena sambutan HBN 2012, di sini hari ini.

Bertemakan ‘Hari Ini Lebih Baik Berbanding Hari Esok’, sebanyak 500 aktiviti membabitkan 38 segmen dengan 1,000 persembahan diadakan sepanjang sambutan program tersebut.

Kemuncaknya ialah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengunjungi tapak karnival dan beramah mesra dengan belia, kelmarin.

Ahmad Shabery berkata, kejayaan HBN 2012 perlu dilihat dari segi kewajaran diteruskan penganjurannya pada masa akan datang atau sebaliknya.

Ia memandangkan, jelasnya, kejayaan mencapai sasaran sahaja tidak bermakna sekiranya beberapa matlamat utama penganjuran HBN gagal dicapai.

“Pengiktirafan kerajaan terhadap golongan belia dengan membenarkan perhimpunan HBN diadakan di Putrajaya dalam skala yang dianggap terbesar adalah satu yang paling menonjol.

“Samalah dengan impak dari segi nilai-nilai kreativiti, perpaduan, keupayaan berorganisasi, kepimpinan dan jati diri belia yang hadir,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, HBN 2012 turut memberi impak ekonomi bukan hanya kepada syarikat swasta tetapi para belia yang berniaga sepanjang karnival itu diadakan.

“Walaupun kami masih meneliti unjuran keuntungan yang bakal diperoleh tetapi jika dibandingkan dengan kehadiran 2.4 juta orang itu, keuntungan yang bakal dinikmati oleh mereka sekurang-kurangnya lima hingga 10 kali ganda,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »