Kuala Lumpur 15 November – Lebih 150 peserta MiB300 mendapat peluang berharga dalam Leadership Energy Summit Asia (LESA) yang bertujuan mengetengahkan bakat dan idea golongan itu sekali gus membentuk jati diri tinggi dalam bidang kepemimpinan.
Ini merupakan kolaborasi kali pertama antara Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama The Iclif Leadership and Governance Centre menghimpunkan pelapis muda seperti ahli korporat, usahawan muda, ahli persatuan belia, parti politik, mahasiswa dan pelajar kemahiran sebagai satu usaha memperkasakan belia pada masa hadapan.
Timbalan Presiden MBM, Muhammad Fadzli Hasan berkata, “MBM berharap melalui pendedahan ini membuka ruang dan peluang kepada Skuad MBM in Business (MiB300) mengenali dimensi baharu kepimpinan yang lebih dinamik dan global,” katanya yang merupakan pengerusi jawatankuasa latihan dan kepimpinan MBM.
Usaha ini juga selari dengan saranan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah bertitah peri pentingnya mempunyai kepimpinan yang berani dan berpandangan jauh, yang sangat-sangat diperlukan terutama pada masa kini.
Dengan menamakan beberapa tokoh seperti pengasas pertubuhan sosial Sulabh International Dr Bindeshwar Pathak, pengasas Microsoft Corporation Founder Bill Gates dan pemimpin agung China mendiang Deng Xiaoping sebagai antara pemimpin luar biasa yang dikagumi baginda kerana telah memberi impak perubahan kepada kehidupan manusia.
Program dua hari ini turut diisi dengan sesi townhall yang membicarakan ‘Belia di era Malaysia Baharu’ menampilkan Presiden MBM, Jufitri Joha, Naib Presiden MBM, Nurul-Huda Mohamed Afandi dan YB Noor Amin Ahmad, Ahli Parlimen Kangar. Turut hadir Pengerusi Tetap MBM, YB Mohd Syahbuddin Hashim.
Skuad MiB300 adalah sebuah inisiatif daripada MBM bagi melahirkan barisan kepimpinan muda negara pada masa hadapan. Semenjak 2015, sejumlah 2,253 belia yang terdiri daripada ahli persatuan belia, mahasiswa dan juga pelajar kemahiran telah dilatih melalui modul khas yang dibentuk.