KUANTAN 31 Ogos – Permuafakatan NGO Melayu Pahang Bersatu (Muafakat) yang terdiri 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negeri, hari ini membuat laporan polis terhadap Wee Meng Chee atau lebih dikenali ‘Namewee’.
Laporan dibuat ekoran tindakan pemuda dari Muar, Johor, mengulangi perbuatan biadapnya dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.
Antara 15 NGO terbabit adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wira Perkasa Pahang dan Alumni Graduan Muda Pahang.
Selain itu, Majlis Belia Daerah, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Majlis Guru Pahang dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Pengerusi GPMS Negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong yang mewakili 15 NGO terbabit berkata, klip video Namewee itu menyentuh isu perkauman.
“Ia juga telah mendatangkan keresahan di kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Klip video terbaru berjudul Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!! itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya, Johor, yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.
Tegas Wan Emril, apa yang dilakukan Namewee merupakan provokasi selain menunjukkan pemuda itu tidak insaf meskipun pernah memohon maaf atas kesalahannya mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku suatu ketika dahulu.
Oleh itu, Wan Emril mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyiasat perkara itu di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, jika kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee, pihaknya bercadang menyaman pemuda itu supaya menjadi pengajaran kepadanya.
Di PUTRAJAYA, satu lagi laporan polis berhubung klip video berbaur perkauman terhadap Namewee dibuat di IPD Putrajaya hari ini.
Laporan dibuat oleh Pergerakan Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dibuat setelah mendapati lirik lagu Negarakuku dalam laman web Youtube itu mempunyai unsur hasutan dan fitnah.
Ketuanya, Raihan Suleiman Pelastin berkata, perkara itu disedari dua hari yang lepas ketika beliau melayari laman web itu di rumahnya.
“Apabila saya mengamati lirik lagu itu, saya dapati ada unsur fitnah yang bercanggah dengan fakta sejarah, provokasi, dan mempertikaikan perkara-perkara dalam Perlembagaan.
“Antaranya mempersoalkan Perlembagaan yang menjadi teras kewarganegaraan ke atas kedudukan bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu selain menaburkan fitnah kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu di MELAKA kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap Meng Chee atau termasuk melucutkan kerakyatan pemuda itu atau didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan tegas seperti itu perlu diambil segera terhadap Namewee tanpa perlu memberi amaran lagi kepadanya.
Menurutnya, pemuda itu tidak seharusnya diberi peluang kemaafan di atas tindakannya itu memandangkan ia kini mewujudkan rasa kurang selesa dalam kalangan kaum lain.