MERLIMAU 13 Januari – Seramai 107 mahasiswa daripada Politeknik Merlimau, Institut Pendidikan Guru Melaka dan Institut Latihan Perindustrian Selandar ditauliahkan sebagai Ahli Skuadmeps dalam program SkuadMEPS Menggerak Pengguna Siswa Negeri Melaka di Politeknik Merlimau.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sdr. Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Dalam ucapannya, beliau berkongsi buku bertajuk “Thirst” karya usahawan sosial Scott Harrison untuk merangsang kecaknaan siswa kepada isu masyarakat dan kepenggunaan.
Scott yang banyak menghabiskan masa mudanya dengan aktiviti yang tidak berfaedah akhirnya tersedar daripada lamunan apabila melihat kesusahan di Afrika lantas beliau ‘bertaubat’ dan mengetuai keusahawanan sosial untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih di Afrika.
Diharap cerita ini berjaya menggamit kecaknaan Siswa untuk menyertai gerakan kepenggunaan.
Untuk rekod, Melaka merupakan negeri kesembilan dan terakhir siri jelajah program SkuadMEPS dianjurkan Bahagian Kepenggunaan KPDNHEP, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin dan Politeknik Merlimau.
Hadir sama Wakil Pengarah KPDNHEP Negeri Melaka, Tuan Adyzam Abd Manap, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Merlimau, Puan Rosita Zainal, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Merlimau, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Sdr. Mohd Ridhwan Tan Sri Mohd Ali, Penolong Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Mohd Nizam Omar, Exco MBM Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh merangkap ketua program dan kepimpinan Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin.