KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) – Sebanyak 10,000 pekerja dalam kalangan belia tercicir dari pekerjaan, pendidikan dan latihan formal (NEET) disasarkan menerima manfaat daripada pelaksanaan program Persijilan Profesional bermula bulan depan.
Ketua Projek Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan berkata langkah memberi sijil kepada mereka penting memandangkan ramai belia memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan akademik rendah menyebabkan sukar mendapatkan tangga gaji setimpal.
“Kita perlu inisiatifkan satu persijilan profesional kepada belia ini supaya mereka merasakan adanya hala tuju yang jelas apabila bekerja di sesebuah tempat.
“Kalau mereka mahu meningkatkan pengalaman bekerja dengan bekerja di syarikat lain, persijilan yang akan diperoleh itu dapat membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Projek Belia Mahir dan Alzette University, Perancis disaksikan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Izzat Afifi Abd Hamid, di Pusat Belia Antarabangsa, di sini hari ini.
Mohammad Rizan berkata belia yang menyertai program persijilan itu perlu mempunyai pengalaman dan kemahiran yang diperoleh daripada pekerjaan sebelum ini.
Katanya, peserta program akan menjalani latihan selama tiga hingga enam bulan dan prestasi mereka dipantau oleh universiti sebelum diberikan sijil.
Belia yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di www.beliamahir.com.
Artikel penuh :