MAJLIS BELIA MALAYSIA

1,000 bantah penyelewengan Ladang Rakyat

16/05/2011 1:36pm

KOTA BAHARU 16 Mei – Lebih 1,000 ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO Kelantan mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek Ladang Rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.Perhimpunan secara aman yang berlangsung selama sejam itu bermula pada pukul 9.30 pagi disertai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda UMNO Kelantan dan penduduk Orang Asli di Gua Musang yang kehilangan tanah mereka akibat projek itu.

Sambil melaung-laungkan perkataan “Gelombang Merah”, mereka berdiri sambil memegang kain rentang di tepi jalan raya sebelum berarak ke hadapan pintu pagar utama pejabat kerajaan negeri Kota Darulnaim dengan dikawal rapi oleh polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Kain-kain rentang itu antaranya bertulis ”Berhentilah Nik Aziz; Pas Tipu Rakyat; Ladang Wakil Rakyat; Pade doh weh, tok wakil Pas kayo doh (Cukuplah setakat ini, wakil rakyat Pas sudah kaya).

Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Saffian kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof.

Pada penyerahan itu berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pengikut demonstrasi dan wakil Pas bertindak kasar namun, insiden itu berjaya dileraikan segera oleh pihak polis.

Anuar, yang juga ketua demonstrasi, berkata penyerahan memorandum kepada kerajaan Pas Kelantan itu bertujuan menuntut keadilan untuk rakyat berikutan wujud penyelewengan dalam pengurusan projek berkenaan.

“Dalam memorandum itu kita menuntut empat perkara agar kerajaan negeri memberi maklum balas iaitu menyenaraikan secara terperinci nama serta status syarikat yang terlibat dalam projek ladang rakyat.

“Yang kedua kerajaan negeri perlu menjelaskan sejauh mana penglibatan bumiputera dalam projek ladang rakyat, ketiga senaraikan bilangan peserta terlibat dalam projek itu dan keempat umumkan laporan kewangan hasil tahunan projek itu dari tahun 2006 hingga 2011,” katanya.

Sementara itu, wakil Orang Asli dari Kuala Betis, Gua Musang, Anuar Panis, berkata beliau datang bersama rakan-rakannya seramai 30 orang untuk menyertai demonstrasi itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Katanya Orang Asli merupakan kaum yang teraniaya berikutan projek itu kerana telah kehilangan banyak kawasan tanah mereka serta kehilangan punca pendapatan. – Bernama

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »