ARAU 13 Julai 2013 – Sebanyak 100 peserta konvoi yang melibatkan kereta dan motosikal berkuasa tinggi di Perlis menjadi kumpulan pertama menyertai Kembara Indahnya Ramadan 2013 yang dilancarkan di pekarangan Masjid Muhammadiah Kampung Guar Gajah di Jalan Padang Nyu di sini, petang semalam.
Program kembara yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gerakwanis Belia 4B Malaysia itu bertujuan menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan orang miskin menerusi majlis berbuka puasa dan bersahur di setiap daerah terpilih yang dikunjungi.
Pelepasan konvoi itu telah dilakukan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perlis, Syamsul Tahrin Mohd. Tahir.
Yang turut hadir, Pengerusi Bersama Kembara Indahnya Ramadan 2013, Haslinda Ahmad dan Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali.
Menurut Haslinda, program kali keempat itu juga mendapat kerjasama daripada JBS, JKM, Bernas dan IM4U.
“Kita menjangkakan sebanyak 1,200 peserta akan menyertai konvoi ini dalam pengembaraan selama 15 hari di 12 buah negeri yang akan berakhir di Kelantan,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan.
Beliau berkata, setiap peserta konvoi cuma terlibat dalam program yang dilaksanakan di negeri masing-masing sahaja.
Haslinda berkata, bagi program di negeri ini, selain dianjurkan majlis berbuka puasa juga diadakan penyampaian sumbangan kepada 30 anak yatim dari tiga kawasan Parlimen iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.
Katanya, pelajar sekolah rendah dan menengah ini menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM250 setiap seorang.
“Pada sebelah malam pula diadakan program sahur dengan menziarah lima rumah penduduk miskin di Parlimen Kangar,” katanya.
Beliau berkata, setiap rumah akan diberikan sumbangan berupa makanan sahur, barangan dapur dan juga selimut.