MAJLIS BELIA MALAYSIA

100 belia sertai konvoi motosikal amal kemerdekaan

KANGAR 27 Ogos – Lebih 100 belia seluruh negeri ini menyertai kerja amal menerusi Konvoi Bermotosikal Belia Prihatin dan Semarak Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis yang bermula kelmarin.

Konvoi anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu turut dijayakan Majlis Belia Negeri Perlis, Kelab Rakan Muda Parlimen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Gapura Bikers Kelab.

Konvoi bermotosikal sempena Ramadan dan bulan kemerdekaan itu dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Sumber Manusia, Perpaduan dan Pengangkutan negeri, Abdul Jamil Saad di pekarangan pejabat JBS di sini petang semalam.

 

Abdul Jamil ketika berucap merasmikan konvoi itu memuji remaja yang menyertai program tersebut kerana mereka boleh menarik minat lebih ramai remaja untuk mengikuti program sedemikian dari semasa ke semasa.

Beliau percaya, konvoi tersebut akan mendapat penyertaan yang lebih besar daripada belia bermotosikal apabila ia diadakan tahun depan.

Sepanjang program itu, peserta menyampaikan bantuan bagi Rumah Orang Tua-Tua Arau, menyerahkan sumbangan di Batu Bertangkup sebelum menutup aktiviti bagi kawasan Parlimen Padang Besar tersebut dengan program keagamaan di Masjid Felda Chuping, Padang Besar.

Pengarah Belia dan Sukan negeri, Abdul Haris Ishak memberitahu, kerja amal di kawasan Parlimen Kangar pula melibatkan peserta menyampaikan sumbangan dan bendera Malaysia di Taman Bunga Padi dan Dewan Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Beliau memberitahu, projek khidmat bakti itu dijadualkan berakhir dengan beberapa lagi aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan peserta konvoi di Parlimen Arau pada 30 Ogos ini.

Last Updated ( Saturday, 28 August 2010 21:55 )

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »