KUALA LUMPUR 29 Mei – Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Sdr. Muhammad Fadzli Hasan telah mengadakan mesyuarat pertama pelaksanaan Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) melibatkan kepimpinan pertubuhan belia di seluruh Malaysia. Delegasi MBM turut disertai oleh Setiusaha Agung, Hasnul Haniff Harun dan Felo Penyelidik, Mohd Fauzi Hj. Fadzil. Delegasi Kementerian Belia dan Sukan diketuai Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara iaitu Puan. Zaliha Abu Bakar. Mesyuarat berlangsung secara dalam talian.
Antara yang diputuskan ialah mesyuarat bersetuju mengadakan KPO pada tahun ini secara dalam talian, pihak MBM selaku rakan strategik KBS telah diamanahkan untuk mendapatkan peserta-peserta program dari seluruh Malaysia menggunakan jaringan Majlis Belia Daerah yang sedia ada. Lebih kurang 4,000 peserta dalam kalangan pemimpin belia yang berumur 30 tahun ke bawah dijangka akan turut serta dalam program ini. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon di mana terdapat peserta dari negeri-negeri berdekatan akan dicantumkan dalam satu zon yang sama. Penceramah bagi program ini akan dicadangkan oleh kedua-dua pihak (MBM-KBS) dan ditentukan dalam mesyuarat seterusnya.
Pihak MBM turut menggalakkan penyertaan pemimpin pertubuhan belia yang tidak bernaung di bawah MBM untuk turut serta di dalam program ini, namun keutamaan akan diberikan kepada pemimpin pertubuhan belia yang bernaung di bawah MBM. Setiap peserta program ini perlu melalui empat sesi kelas yang akan dilaksanakan selama dua hari (secara atas talian). Mesyuarat akan dilaksanakan untuk kali kedua pada 2 Jun 2021, sesi kedua mesyuarat akan membincangkan modul yang akan digunapakai sepanjang program berlangsung nanti.