KUALA LUMPUR 3 Mac 2013 – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang atau Tian Chua dianggap tidak layak menjadi warga Malaysia selepas sanggup mengatakan kematian perajurit negara di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara politik UMNO.
Bekas Pengerusi DAP cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, pencerobohan berdarah yang berlaku di Lahad Datu merupakan isu keselamatan dan kedaulatan negara serta menuntut semua rakyat Malaysia bersatu padu mempertahankan tanah air.
“Kenyataan beliau adalah sangat tidak sensitif terhadap keluarga perajurit yang terkorban. Tian Chua bukan sahaja tidak layak untuk mentadbir negara, malah dia juga tidak layak untuk menjadi rakyat Malaysia.
“Dalam hal ini, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah berkorban nyawa dalam perkhidmatan polis dan tentera. Adakah Tian Chua fikir mereka ini pergi untuk ditembak? Mereka mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tian Chua seperti dipetik dalam lidah rasmi PKR, Keadilandaily.com semalam mendakwa kejadian yang menyebabkan kematian anggota pasukan keselamatan negara dan penceroboh dari Filipina itu hanya ‘sandiwara kerajaan’ untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.
Sementara itu, menurut aktivis Pas, Norman Toha, Tian Chua adalah seperti ‘haiwan politik’ yang sanggup mempermainkan isu keselamatan negara serta langsung tidak menghiraukan jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang terbunuh.
“Orang seperti Tian Chua tiada semangat patriotik. Dia melihat Malaysia hanya sebagai tempat cari makan dan bila-bila masa boleh lari keluar sedangkan rakyat Malaysia yang lain berjuang sehingga titisan darah terakhir bagi mempertahankan tanah air,” katanya.
Norman jelas amat kecewa dengan hala tuju pakatan pembangkang kerana isu pertahanan negara tidak boleh boleh dikompromi oleh sesiapapun kerana melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kenyataan Tian Chua itu memaparkan sifat kebencian yang menebal terhadap UMNO sehingga langsung tidak sensitif kepada keselamatan negara dan keluarga perajurit yang terkorban.
“Dalam waktu seperti ini, tidak kira parti pemerintah atau pembangkang, semua rakyat Malaysia mesti berdiri memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara.
“Dalam keadaan rakyat Malaysia semua sedang bersedih, Tian Chua sesuka hati membuat kenyataan. Beliau memang bongkak kerana tidak menghargai keamanan dan keselesaan hidup yang dinikmatinya hari ini adalah hasil pengorbanan para perajurit kita,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Last Updated ( Tuesday, 05 March 2013 11:18 )