MAJLIS BELIA MALAYSIA

Terengganu sasar 1,000 pertubuhan belia

KUALA TERENGGANU 6 Mac – Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Terengganu menyasarkan penubuhan kira-kira 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Pengarah JBS Terengganu, Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, penubuhan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Menurut beliau, pada masa ini, sebanyak 436 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 30,000 keahlian.

Sehubungan itu, katanya, JBS bekerjasama dengan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dan Majlis Belia Daerah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.

“Selain itu, pegawai jabatan turut mengadakan program turun padang untuk mengenal pasti kampung terlibat bagi penubuhan persatuan belia yang baru,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Perasmian dan Pelepasan Jelajah Proton Majlis Belia Malaysia-Kementerian Belia dan Sukan sempena promosi Hari Belia Negara 2011 dan Konvoi Transformasi Belia Ke Kuala Terengganu, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali.

Sebanyak 70 kereta bersama 100 peserta menyertai konvoi tersebut dalam mempromosikan Hari Belia Negara 2011 yang bakal menghimpunkan sejuta belia di Putrajaya pada 27 hingga 29 Mei depan.

Selepas menjelajah Pahang, Kelantan dan Terengganu, konvoi tersebut ke utara minggu depan sebelum ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebelum ini, mereka menjelajah kawasan selatan meliputi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Abd. Aziz berkata, dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat.

Katanya, di peringkat penajaan, sekurang-kurangnya 15 orang yang dilantik sebagai jawatankuasa dan penubuhan biro boleh dibentuk untuk membolehkan mereka mendaftar sebagai sebuah pertubuhan belia.

Beliau berkata, JBS sentiasa memantau pertubuhan persatuan bagi memastikannya mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi mengelakkannya dibatal.

Namun begitu, katanya, bilangan persatuan yang dibatalkan di negeri ini adalah kecil kerana jabatan sentiasa memberi bimbingan dan panduan untuk memastikan setiap persatuan terus aktif.

Mengenai program jabatan pada tahun ini, beliau berkata, sebanyak RM300,000 diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menjalankan pelbagai aktiviti bagi tempoh setengah tahun ini.

“Antara aktiviti yang akan dilaksanakan kursus kepimpinan bagi melatih pemimpin belia baru dalam mengendali sesebuah organisasi pertubuhan belia,” katanya.

Selain itu, katanya, ia turut diadakan program 3K Bestari untuk melatih belia dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai kemahiran.

Ini kerana, katanya, adalah menjadi hasrat jabatan untuk melahirkan lebih ramai belia terlibat dalam bidang keusahawanan dan menjadikan perniagaan adalah satu kerjaya mereka.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »