KUALA LUMPUR 9 Feb. – Portal propembangkang Malaysiakini disifatkan sebagai suka mengadu domba dan tidak bertanggungjawab terhadap setiap laporan yang dikeluarkannya.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Gadafi Jamaluddin berkata, perkara tersebut terbukti apabila portal itu kerap mengeluarkan laporan isu perdebatan antara Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, sejak Jumaat lalu.
“Malaysiakini sepatutnya berpegang teguh pada etika kewartawanan dan penerbitan dalam setiap berita yang dikeluarkan kerana tugas organisasi dan pengamal media bukan sekadar mendapatkan berita terkini atau sensasi semata-mata, sebaliknya turut bertanggungjawab memastikan kesan serta akibat laporan yang akan dikeluarkan itu.
“Lebih menyedihkan apabila Malaysiakini mengeluarkan kenyataan pelbagai pihak tetapi tidak mahu bertanggungjawab atas berita tersebut. Ini jelas menunjukkan portal itu tidak memiliki integriti dalam setiap laporan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menasihatkan Malaysiakini supaya lebih berhati-hati dalam melaporkan sebarang berita yang berkaitan dengan sensitiviti agama dan keselamatan negara.
Katanya, Perkasa memang menyokong kebebasan media, amalan demokrasi dan hak asasi manusia tetapi apabila berkaitan dengan isu agama dan keselamatan, pengamal media perlu bersikap lebih bertanggungjawab.
“Tindakan Malaysiakini mengeluarkan kenyataan balas antara Zamihan dan Mohd. Asri itu secara jelas menunjukkan portal itu sengaja mahu membesarkan isu tersebut supaya menjadi perhatian ramai tetapi dalam masa yang sama bersikap ibarat ‘baling batu sembunyi tangan’.
“Pengamal media di Malaysiakini perlu menyedari kenyataan yang dikeluarkan itu berkaitan dengan nama dan imej Islam kerana melibatkan tokoh agama. Justeru, pihak berkuasa perlu memantau portal tersebut supaya tidak melampaui batas undang-undang,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/suka-mengadu-domba-tidak-bertanggungjawab-ke-atas-laporan-1.188660#sthash.PgUswyL1.dpuf