KUALA LUMPUR 3 Mac 2013 – Siasatan segera perlu dilakukan terhadap pertemuan antara dua pemimpin pembangkang dengan pihak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) serta wakil Kesultanan Sulu bagi memastikan kedaulatan negara tidak tercemar.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pertemuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari manakala Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dengan Sultan Muidzullail T. Kiram perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan dan disusuli dengan siasatan rapi.
“Siasatan perlu dibuat dengan segera terhadap dua individu yang terlibat kerana rakyat sekarang sudah keliru dengan maklumat yang bercampur baur.
“Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat dan tidak seharusnya dikaitkan dengan perkara lain termasuk politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar melaporkan agensi perisikan Filipina mengesahkan terdapat pertemuan antara Anwar dan Nur Misuari beberapa bulan lalu sebelum pencerobohan berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Selain itu, agensi yang sama turut mengesahkan Jeffrey terlibat mengadakan pertemuan dengan Sultan Muidzullail juga beberapa bulan lalu sebelum kejadian berlaku.
Mengulas isu sama, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Datuk Kamarudin Kachar berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana sekiranya tiada tindakan diambil, negara boleh menjadi huru-hara.
“Diharapkan pihak kerajaan akan mengambil tindakan seterusnya bagi mendapatkan bukti yang sah tentang pertemuan tersebut.
“Sekiranya individu terbabit didapati bersalah, tindakan berlandaskan Perlembagaan harus dikenakan terhadap mereka,” katanya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman pula berkata, kepentingan negara harus diutamakan dan meletakkan rakyat dalam keadaan bahaya tidak seharusnya berlaku.
Katanya, hukuman yang setimpal wajar dikenakan ke atas pihak terbabit jika terbukti kejadian itu berpunca akibat pertemuan mereka.
© Utusan Melayu (M) Bhd