Bajet 2015 yang bakal dibentangkan pada Oktober ini diharap lebih mesra belia, khususnya dalam penyediaan bidang kemahiran dan perniagaan kecil.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata pihaknya berharap peruntukan untuk program kemahiran belia ditambah seperti kursus kemahiran yang ditawarkan mesti dipertingkatkan sehingga mencapai tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap Tiga dan ke atas.
“Jika kursus kemahiran seperti itu tidak dikaji semula, hasrat negara untuk mencapai 3.3 Juta pekerja mahir menjelang tahun 2020 sukar dicapai,” katanya.
Maliki berkata, Skim Perumahan Belia juga perlu dipergiatkan dengan perlaksanaan menyeluruh walaupun inisiatif itu sudah diumumkan pada pembentangan bajet 2014.
“Kerajaan harus menggerakkan usaha yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat korporat khasnya syarikat berkaitan kerajaan bagi mewujudkan skim yang bersifat ‘menang-menang’ antara pemaju dan pembeli muda,” katanya.
Selain itu, katanya, golongan belia mengharapkan peluang kerja yang bergaji kompetitif menerusi pembangunan wilayah yang berpotensi.
“Pendekatan ini akan mengurangkan migrasi golongan belia ke bandar besar berikutan tarikan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua’mar Gaddafi Jamal, berkata program khas bantuan ekonomi wajar diwujudkan untuk membolehkan belia menceburi bidang perniagaan bermodal kecil.
“Menerusi peruntukan modal berkenaan, kita yakin ia menjadi lonjakan kepada warga belia yang ingin memulakan perniagaan mahupun melebarkan perniagaan sedia ada,” katanya.