KUALA LUMPUR 5 Okt. 2012 – Rakyat perlu menolak Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang tidak menggambarkan sebuah pentadbiran telus dan integriti jika mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-13. Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, rakyat tidak wajar meletakkan harapan tinggi dan tidak perlu membuang masa memilih pentadbiran yang mengamalkan kronisme dan nepotisme kronik. ”Datuk Seri Anwar Ibrahim berjuang dalam reformasi pada 1998 untuk menghapuskan amalan kronisme, rasuah dan politik rakan-rakan serta keluarga.
Tetapi perjuangan beliau sekarang sangat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Beliau mengulas Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang turut menyenaraikan isteri Anwar iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan juga anaknya, Nurul Izzah. ”Hari ini kita melihat ‘wajah sebenar’ Anwar yang meletakkan anak-beranak dalam Kabinet bayangan pakatan pembangkang. Macam sudah tidak ada tokoh berwibawa lain untuk diserapkan dalam Kabinet bayangan itu,” kata beliau.
Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar pula menyifatkan Ketua Pembangkang tersebut seperti ‘cakap tak serupa bikin’ dan ‘sudah ludah jilat balik’ dengan merujuk perjuangan Anwar sebelum ini. ”Jika pentadbiran tersebut berlaku, maka Anwar akan memerintah negara sebagai seorang ‘diktator’ yang mengawal negara. Tiada siapa berani menegur beliau. Rakyat perlu menolak pemimpin seperti ini yang akan membinasakan negara,” katanya. Menurutnya, Wan Azizah dan Nurul Izzah tiada kewibawaan untuk menjadi seorang pemimpin kerana mereka bergantung kepada pengaruh Anwar sahaja,” kata beliau. Katanya, Anwar hanya tahu menggunakan kuasa untuk menaikkan keluarganya serta menyalahgunakan kuasa tersebut. Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20121006/po_03/Rakyat-perlu-tolak-Kabinet-bayangan-pembangkang#ixzz29RiuYh6u © Utusan Melayu (M) Bhd