KENYATAAN MEDIA
PROGRAM KONVOI PERSAHABATAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT
(MALAYSIA-THAILAND-KEMBOJA) KE ARAH KOMUNITI ASEAN 2015
Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) akan menganjurkan Program Konvoi Persahabatan Dan Khidmat Masyarakat (Malaysia-Thailand-Kemboja) Ke Arah Komuniti Asean 2015 bermula 1 hingga 10 Oktober 2014.
Program tahunan sejak tahun 2012 ini akan disertai seramai 100 orang belia yang akan merentasi Malaysia, Thailand dan Kemboja dengan melibatkan 25 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4). Program ini juga mendapat kerjasama daripada Kementerian Luar Negeri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kelab 4×4 iaitu Kilo Lima Bravo Motorsport Club (KLMBC), Kedah Off Road Club dan Jatt Carera 4×4.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta khususnya generasi muda dalam mengangkat dan mempopularkan program kemasyarakatan antarabangsa. Selain itu peserta juga akan merasai pengalaman merentasi negara-negara terbabit dengan menggunakan jalan darat sejauh 3,500km. Ini berlainan dengan penganjurannya sebelum ini, di mana peserta-peserta menggunakan pengangkutan kereta api dan bas untuk memasuki Kemboja.
Antara pengisian program semasa di Kemboja adalah seperti berikut;
- Sambutan Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban
Seperti lazimnya, program ini diadakan sempena Hari Raya Aidil Adha seterusnya para peserta akan merasai pengalaman menyambut hari raya selain melaksanakan ibadah korban bersama penduduk-penduduk kampung dengan kerjasama Jabatan Mufti Kemboja.
- Tinggal bersama Keluarga Angkat
Peserta-peserta juga akan merasai pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di Phum Spue iaitu salah sebuah kampung di dalam wilayah Kampung Cham.
- Penyampaian sumbangan
Menyampaikan sumbangan kewangan kepada sekolah yang berada di dalam kampung ini yang dikenali sebagai sekolah An Nikmah. Sekolah ini di bawah kelolaan Jabatan Mufti Kemboja. Sumbangan ini digunakan untuk menambah baik kemudahan sekolah, membeli baju pelajar serta bayaran gaji guru.
- Dialog dan Forum
Pada tahun ini, aktiviti program ini telah ditambah dengan pengisian sesi dialog dan forum bertajuk “Ke Arah Komuniti ASEAN 2015” yang akan diadakan pada 6 Oktober 2014 di Seam Reap. Program ini melibatkan badan induk belia di Kemboja iaitu United of Youth Federation of Cambodia (UYFC). Program ini bertujuan mempromosi idea penubuhan Komuniti ASEAN dalam kalangan belia selain memperkukuh hubungan belia antara dua negara. Selain itu konvoi akan bersama UYFC untuk memberi sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin di sekitar Seam Reap.
Penganjur mensasarkan 15 ekor lembu korban dan dana berjumlah RM100,000 untuk menambah baik kemudahan sekolah, tabung pendidikan dan sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin di bawah program
Sehubungan itu, Pelancaran Program Ibadah Korban serta Sumbangan Pendidikan Anak Yatim dan Fakir di Kemboja diadakan bagi merealisasikan hasrat tersebut dan kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada individu, syarikat korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta badan-badan lain yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan melalui program ini. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Sdr. Wan Ahmad Sabri Yusof di talian (017) 343 7266.
Sumbangan bolehlah disalurkan melalui akaun;
Nama Akaun : MAJLIS BELIA NEGERI PERLIS
No. Akaun : 3986 5455 15
Bank : Public Bank
Program ini dilihat mampu memberi impak yang bekesan kepada peserta terutama generasi belia apabila melihat keterbatasan kemudahan dan kemajuan di negara luar berbanding dengan negara sendiri. Program ini mampu memupuk semangat kerjasama kumpulan yang sangat tinggi dalam kalangan peserta serta meningkatkan semangat ‘One Asean’ dalam membantu golongan yang lebih memerlukan.
Sekian, terima kasih.
WAN AHMAD SABRI BIN YUSOF
Pengarah Program;
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia;
Timbalan YDP1 Majlis Belia Negeri Perlis