MAJLIS BELIA MALAYSIA

Perumahan khas belia dirancang

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Kementerian Belia dan Sukan merancang mewujudkan beberapa bandar di kawasan pinggir ibu kota khas bagi golongan belia dalam usaha membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang kian meningkat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian serius dalam usaha membantu belia menghadapi isu kos sara hidup tinggi dan telah mengemukakan cadangan pembinaan perumahan atau bandar raya khas untuk golongan tersebut.

“Kementerian telah mengemukakan beberapa cadangan untuk Bajet 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober ini. Antaranya mewujudkan bandar-bandar belia menerusi projek perumahan khusus untuk mereka dan memohon peruntukan bagi program-program pembangunan sukan.

“Pembinaan bandar belia di kawasan pinggir bandar diharap dapat membantu golongan tersebut memiliki atau menyewa rumah pada kadar yang rendah, sekali gus membantu mereka menghadapi isu kos sara hidup yang kian meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran dan pengumuman liga badminton profesional pertama negara, Liga Purple Kopiko di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff; Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Mohamad Norza Zakaria; Pengasas Liga Purple Kopiko, Datuk Jack Koh dan Pengurus Negara Kumpulan Inbisco Marketing and Sales Sdn. Bhd. (Inbisco), Ng Kin Kok.

Menurut Khairy, untuk Bajet 2015, pihaknya memohon sokongan bagi program-program pembangunan sukan selepas prestasi hambar yang dipamerkan kontinjen negara pada dua temasya besar, Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang kini masih berlangsung.

Katanya, ada pihak yang mempersoalkan bajet diberikan untuk pembangunan sukan negara ekoran kegagalan atlet kebangsaan pada dua temasya tersebut.

“Prestasi hambar di Glasgow dan Incheon merupakan isyarat jelas kepada kita bahawa sejarah kegemilangan Sukan Komanwel 1998 kini sudah berakhir.

“Untuk itu, kita perlu memulakan semula pembangunan kecemerlangan baharu bagi melahirkan lebih ramai atlet berkelas dunia pada masa akan datang,” jelasnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »