MAJLIS BELIA MALAYSIA

Persidangan Ketua-Ketua Penerangan Badan-Badan Gabungan MBM

PORT DICKSON 8 Nov – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan telah menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Penerangan Badan-badan Gabungan Majlis Belia Malaysia pada 7 hingga 8 November 2020 di Ancasa Residence Port Dickson, Negeri Sembilan.

Program ini di bawah kendalian Biro Penerangan dan Media MBM melalui Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Ketua Penerangan MBM.

Seramai 22 orang ketua penerangan dari badan gabungan MBM hadir menjayakan program ini yang berlangsung selama dua hari. Pelaksanaan program dan pergerakan peserta berlangsung mengikut SOP yang ditetapkan.

Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd Husni Abdullah dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas kehadiran dan komitmen peserta-peserta walau dalam keadaan PKPB di sesetengah tempat. “Penerangan merupakan port folio yang penting dalam sesebuah organisasi dalam membantu Presiden dan Setiausaha”, katanya.

“Saya berharap ketua penerangan badan gabungan dapat memainkan peranan lebih aktif dan bekerjasama lebih rapat dengan MBM dalam merancakkan aktiviti belia”, tambah beliau.

Persidangan ini bertujuan mendapatkan maklum balas dari Ketua-ketua Penerangan badan gabungan MBM selain memberi pendedahan mengenai teknik dan kemahiran asas bidang penerangan seperti platform media sosial, hebahan, pemberitaan, pengendalian majlis dan sebagainya.

Pengisian hari pertama dimulakan dengan persidangan ketua-ketua penerangan diikuti slot 1: Penulisan dan Pemberitaan; slot 2: Digital Media oleh Ainol Amriz Ismail, Pengarah Media Specialist (bekas editor Utusan). Sebelah malam diisi dengan slot 3: Bicara Selebriti Media menampilkan Andy Junaidi, wartawan Sinar Harian berkongsi pengalaman beliau dalam bidang kewartawanan. Moderator bagi program ini ialah Mohd Adib Anas, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Hari kedua pula diisi dengan sharing session bertajuk “Halatuju Komunikasi Pasca Covid-19” yang disampaikan oleh Encik Mohamad Nor Afendi Jufri, Pegawai Komunikasi Strategik Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama sesi engagement di antara UKK KBS dengan MBM melalui Persidangan Ketua-Ketua Penerangan Badan-badan Gabungan MBM.

Antara yang dibangkitkan ialah perlunya peranan UKK di setiap kementerian untuk menjadi penasihat kepada menteri-menteri mengenai peranan pertubuhan belia sebagaimana krisis pertubuhan belia dan Menteri tahun 2018.

Presiden MBM mengisi slot seterusnya dengan ceramah “Minda Presiden”. Beliau menyentuh mengenai kepentingan peranan jawatankuasa penerangan setiap persatuan belia khususnya dalam mendepani masalah belia pasca Covid-19. Turut disentuh isu digital enovator untuk menambah pendapatan, peranan media dalam mendidik masyarakat dan advokasi.

Majlis penutup persidangan disempurnakan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara Dato Dr. Hjh Wasitah Mohd Yusof.

Dalam ucapannya, beliau berkata “saya melihat dalam usaha kita mengarusperdanakan pembangunan belia, peranan media tidak boleh diketepikan malah perlu berjalan seiring supaya masyarakat melihat apa yang dibuat oleh persatuan belia”.

“Gunakan platform media sosial yang dekat dengan anak muda agar setiap program yang diadakan mesejnya sampai kepada belia akar umbi secara menyeluruh”, ujar Dr. Wasitah.

Hadir sama dalam majlis tersebut Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Dr. Zainah Shariff, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Zul Fadzli Abd Aziz, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Sdr. Fairos Rusli dan kepimpinan MBNS, Penolong Setiausaha Agung MBM, Sdri. Atiqah Syairah dan Exco MBM, Sdri. Jessy Ng.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »