MAJLIS BELIA MALAYSIA

PEREMAJAAN KUASA LEGISLATIF : BILAKAH NARATIF SEGAR DAPAT DICIPTAKAN?

Oleh:

SDR. MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN

FELO PENYELIDIK MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tujuan pemain-pemain politik menawarkan diri dalam perebutan politik adalah untuk menguasai punca kuasa yang membolehkan mereka mendapat legitimasi bagi mempraktiskan visi yang dipercaya. Punca kuasa ini diturunkan daripada perlembagaan sebagai badan tertinggi yang memiliki autoriti untuk mengabsahkan. Selain perebutan punca kuasa, faedah yang mengiringinya daripada sudut imbuhan, kawalan sumber, akses, pengaruh juga menjadi stimulus yang mendorong ahli politik berpencak menarikan seni strategi mereka bagi memenangi pertarungan. Tidak hairan politik sering dianggap dunia yang sangat keras, dihiasi sepak terajang. Gelanggangnya terbuka untuk dimasuki oleh mereka yang memiliki ketahanan dan kemampuan menghadapi serangan bertubi-tubi bukan semata-mata daripada lawan politik tetapi juga NGO dan rakyat yang bertindak sebagai pemantau awam.  

Mengambil Malaysia sebagai konteks, seorang Perdana Menteri dipilih oleh YDPA daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mungkin dipercayai mempunyai sokongan majoriti ahli dewan berkenaan. Keistimewaan seorang Perdana Menteri itu besar sekali. Beliau memiliki hak pregoratif untuk melantik atau mempengaruhi lantikan seseorang yang bakal membentuk landskap sosiopolitik kerajaan yang dipimpin beliau. Hak ini memberikan kuasa luas untuk menaik dan menurunkan hatta orang yang paling kanan sekali dalam hierarki kabinet atau pentadbiran awam. Kuasanya dijamin undang-undang, dihormati sebagai suatu keistimewaan sebagai ketua badan eksekutif yang menjalankan urustadbir kerajaan. 

Pengumuman lantikan senator baru-baru ini antaranya melibatkan lantikan beberapa muka lama yang telah menghiasi dunia politik negara hampir separuh abad. Tanpa menampilkan muka baru yang lebih segar (kecuali YB Senator Wan Faysal), rakyat melihat amalan ini seolah kembali ke belakang menggunakan hak pregoratif yang dijamin undang-undang dengan melantik senator bagi memberi ganjaran kepada anggota parti untuk mewujudkan hubungan politik. Kita tidak memperkecilkan sumbangan ahli-ahli politik lama ini. Bahkan kita mengiktiraf bakat, jasa dan sumbangan mereka. Namun, zaman beredar, kebiasaan, kehendak dan kemahuan ikut bergilir. Citarasa anak muda yang menjadi ‘king maker’ dan pembentuk pandangan awam (public opinion) terhadap sesuatu keputusan sangat mempengaruhi. 

Kebanyakan mereka merasa bimbang, pada akhirnya ahli politik ini mengekalkan amalan lapuk serta tidak lagi produktif justeru menjadikan Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’. Kita tidak dapat mengawal pemilihan anggota Dewan Rakyat yang 100% ditentukan oleh majoriti pemilih dikalangan pengundi berdaftar. Walaupun iltizam parti-parti politik mencalonkan peribadi muda yang berkarisma untuk menempati posisi kerusi ahli legislatif, ada dikalangan mereka gagal memikat pengundi sehingga kalah dalam PRU lepas. Shahril Hamdan sebagai contoh. Ramai memberikan kredit terhadap keupayaan beliau sebagai pemimpin yang bervisi dan memiliki watak. Pengundi tentu tidak dapat disalahkan. Kepada ahli politik muda, mereka mungkin perlu perbanyakkan exercise menguasai ruang awam dalam daerah pertandingan. Kadang-kadang hal itu agak sukar berlaku kerana naungan politik tempatan yang masih banyak dicengkam oleh orang lama yang sentiasa mengintai peluang untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat. Kenapa itu berlaku dalam kitaran yang tidak berkesudahan? Berbalik kepada premis di atas yang menyuratkan betapa banyak keistimewaan menguasai puncak kuasa politik. Itu yang direbutkan. Soal prinsip boleh dikompromi. Walaupun masih ramai lagi yang mengimani, bahawa prinsip perjuangan adalah lebih utama daripada kehendak peribadi. 

Kita berlepas daripada kawalan terhadap lantikan ahli Dewan Rakyat. Namun, ada lagi wadah legistilatif yang juga membawa seseorang bergelar Yang Berhormat sepenuhnya di bawah bidang kuasa Perdana Menteri yang dapat dikawal melalui nasihat daripada penasihat di sekitar. Semoga mereka membaca, bahawa kita patut menampilkan lebih ramai figura baru yang sebenarnya daripada segi merit jelas memiliki wibawa untuk dinamakan sebagai Senator Dewan Negara. Jika merujuk kriteria yang ditetapkan oleh Perkara 45(2) yang mengatakan:

“Mereka hendaklah orang yang memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli”.

Persoalannya kenapa masih cenderung menampilkan orang lama yang telah begitu panjang kita menilai prestasi mereka masih sama tanpa pembaharuan tekad yang segar dan bertenaga. Mereka juga telah puas menikmati segala faedah politik yang menjadikan kebanyakan hidup mewah terapung daripada suara rakyat yang kononnya dibela. Pendekatan yang diambil Negara Kanada dengan mewujudkan badan bebas yang dikenal sebagai Senator Independent Advisory Board for Senate Appointment’ untuk menilai dan memberikan syor kepada Perdana Menteri berhubung calon sesuai dilantik sebagai anggota senat perlu diteladani. Ini bagi memastikan anggota Dewan Negara dapat berpartisipasi aktif membawa suara massa yang bukan sahaja memikul bagasi politik parti masing-masing sahaja. 

Bukanlah suatu yang janggal jika kerajaan hari ini meremajakan imbangan kuasa antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan menampilkan wajah baru. Ini sedikit sebanyak menyokong pertumbuhan institusi awam dan masyarakat yang bebas dan berintegriti tanpa dibayangi tuan-tuan politik (political master) yang berdekad-dekad telah mencengkam penguasaan mereka. Bayangkan, ada dikalangan Ahli Parlimen yang menguasai kerusi sejak selepas merdeka sehingga hari ini masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan memberi laluan kepada lapisan baru. Sehingga kematu pemimpin dibelakang mereka menunggu. Ahli politik berkenaan sudah terlalu selesa diulit sanjungan sehingga payah sekali mahu turun.  

Apa yang dilukiskan oleh Kabinet PN jika diteliti hanya mempunyai 3 wakil belia iaitu YB Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Ekonomi dan YB Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan selain YB Senator Wan Fayhsal. Apakah ia memadai? 

Sebenarnya tindakan yang diambil untuk meremajakan ahli legislatif bukanlah suatu yang janggal. United Nations (UN) telah mengadaptasi kempen Not Too Young To Run (NTYTR) yang berasal daripada Afrika bagi menggalakkan penyertaan perwakilan belia dalam platform utama pembuatan dasar negara. Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menghimpunkan suara 14.7 juta golongan belia yang berumur 15-40 tahun di negara ini turut menggerakkan kempen NTYTR pada PRU yang lepas. Bahkan, kerajaan berada pada landasan yang tepat apabila had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Manakala, takrif umur belia kepada 15-30 selepas pembentangan pindaan Akta 668 Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia dipersetujui sebulat suara. Jika orang muda telah sedia dimatangkan untuk bercakap mengenai tanggungjawab terhadap negara, mengapa mereka masih disekat untuk tampil ke peringkat yang lebih tinggi? Cukuplah untuk membiayai pemain politik lama. Mereka telah banyak berjasa dan tiba masa untuk menikmati rehat, menuai hasil apa yang mereka juangkan. Sekali lagi kita bercakap tentang bidang kuasa yang boleh dikawal ialah lantikan Senator di Dewan Negara. Sedangkan Dewan Rakyat kalau ada calon yang berusia 100 tahun sekalipun mahu bertanding dipersilakkan. Rakyat memilih. 

Di kalangan para pemimpin sektor ketiga yang telah lama menjadi rakan pembina negara, banyak bakat-bakat yang ditiriskan kerana wibawa mereka tidak dimanfaatkan. Mithalnya, Jufitri Joha sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia. Di peringkat antarabangsa beliau diberikan pengiktirafan dan mandat dalam banyak institusi penting berkaitan belia. Dalam sektor kesukarelawanan dan pembangunan bakat, Michael Teoh Su Lim, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi antara tokoh yang berwibawa. Beliau pernah menerima anugerah ‘Young Leader in Talent Development & Personality of the Year (Rising Star category)’. Manakala, baru-baru ini dilantik sebagai Microsoft Global YouthSpark Youth Advisor. Jika wibawa seperti ini tidak diangkat ke barisan legislatif, sebuah kerugian sosial telah dipersiakan negara. Orang muda mengharapkan agar hasrat ini didengari oleh kerajaan. Jika dapat diimbangi 30% daripada keseluruhan anggota Dewan Negara daripada kalangan generasi umur 30-45 tahun. Sesuai dengan banyak dasar pemula yang diambil oleh kerajaan menggunakan skema berkenaan. Kemasukan orang muda dalam segmen penting negara diyakini akan menyegarkan proses pemuktamadan sesebuah akta dan undang-undang yang akan memberi impak kepada generasi masa depan yang mana mereka hari ini sebahagian daripadanya. “Idealisme adalah satu-satunya kemewahan orang muda”. Kami percaya, idea adalah matawang dunia (idea is the currency of the world). Tidak terhenti hanya sebagai seorang idealis, anak muda yang diharapkan mengisi segmen yang dicadangkan ini juga perlu melepasi faktor merit lain – sumbangan dalam dunia aktivisme, korporat dan organisasi. Semoga kerajaan mendengari.

Bertarikh : 18 Jun 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »