MAJLIS BELIA MALAYSIA

Perbincangan YB Menteri Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Bersama Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO)

DALAM TALIAN 28 Oktober – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah dijemput oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk mengadakan satu sesi perbincangan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom bersama wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) mengenai agenda perkongsian strategik seperti mana yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang merangkumi konsep Whole of Nation Approach.

Sesi perbincangan tersebut disertai oleh 48 orang yang terdiri daripada YB Menteri EPU, pegawai-pergawai kanan EPU, wakil-wakil daripada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) dan CSO pelbagai bidang. MBM telah diwakilkan oleh tiga orang felo penyelidik iaitu Sdr. Mohd. Suhaimi Mohd Din, Sdr. Nazmi Ashraf Mohd Nazim dan Sdr. Thai Ming Yeow.

Pengisian perbincangan tersebut meliputi bidang fokus, skop dan kaedah penjalinan kerjasama pihak Kerajaan dan CSO dalam pelaksanaan RMK-12 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui sumbang saran dan diskusi dua hala.

Antara input yang diutarakan oleh wakil-wakil MBM adalah cadangan supaya Kerajaan meletakkan MBM sebagai pemegang taruh dalam perkongsian matlamat di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah melalui majlis-majlis belia di pelbagai peringkat, pembangunan tanah terbiar untuk perladangan terutamanya di negeri-negeri pantai timur bagi tujuan memperkasakan ekonomi belia tempatan, dan menyaran agensi pusat seperti EPU atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan pekeliling kepada semua kementerian dan agensi awam sebagai pemuda cara kepada kerjasama strategik Kerajaan – CSO.

Cadangan-cadangan lain yang diusulkan oleh wakil-wakil CSO termasuk penyediaan platform pangkalan data dan perkongsian data terbuka bagi mengenal pasti sasaran penerima yang tepat, pemetaan bidang fokus CSO di semua peringkat bagi mengelakkan pertindanan fungsi, pengukuran impak sosial dalam penilaian projek, kerjasama korporat-CSO dan penubuhan jawatan kuasa bersepadu untuk penyelarasan kerjasama.

Kesimpulan daripada sesi perbincangan ini, YB Menteri EPU telah menerangkan bahawa skop kerjasama Kerajaan-CSO terdiri daripada tiga aspek utama dan akan diformalkan iaitu perancangan dasar, pelaksanaan dan pemantauan. Memandangkan pendekatan Whole of Nation adalah satu pendekatan yang baharu, pelaksanaannya akan dijalankan secara berperingkat bermula dari kebangsaan dan kemudian diperluaskan ke peringkat negeri dan tempatan. Terdapat 7 bidang yang digariskan dalam RMK-12 bagi kerjasama lestari. Walau bagaimanapun, bidang sosioekonomi terutamanya pembasmian miskin tegar menjadi keutamaan Kerajaan masa kini bagi peringkat permulaan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »