KUALA LUMPUR 30 Mac – Golongan pendakwah muda perlu digerakkan bagi memberi kefahaman kepada golongan sebaya mereka tentang fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pendakwah muda lebih memahami perasaan serta keperluan anak-anak muda, sekali gus boleh mengelakkan golongan itu daripada terpengaruh dan menyertai kumpulan militan tersebut.
Menurutnya, pendekatan dakwah yang ada sekarang ini masih belum mencukupi untuk diterapkan kepada golongan muda agar mereka lebih memahami tentang erti ajaran Islam sebenar dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1 Penggal Ke-30 Tahun 2015-2016 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras di sini yang disertai lebih 50 pemimpin pertubuhan belia seluruh negara.
Khairy berkata, pendekatan itu turut berlaku di luar negara apabila banyak pendakwah muda yang aktif memainkan peranan mereka dalam memberi kefahaman tentang Islam termasuk menyekat pengaruh IS daripada berkembang.
“Memang sudah banyak usaha dilakukan di sana bagi membabitkan pendakwah dan penceramah muda yang dilihat lebih efektif untuk membawa mesej kesederhanaan dalam Islam bagi diterapkan kepada golongan muda dan belia,” ujarnya.