KUALA LUMPUR 13 Jun – Kementerian Belia dan Sukan akan membentangkan satu pelan tindakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi mengenal pasti model sesuai untuk digunakan dalam pelaksanaan Parlimen Belia.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, taklimat yang akan disampaikan oleh beliau esok akan merujuk kepada model-model yang digunakan oleh lebih 30 negara dalam melaksanakan Parlimen Belia.
“Banyak model yang digunakan dalam pelaksanaan Parlimen Belia. United Kingdom (UK) ada model tersendiri, begitu juga negara di Eropah, Australia dan India. Ada juga yang menggunakan model Parlimen sedia ada di negara mereka.
“Sebagai contoh, wakil belia dari Parlimen Sri Gading akan duduk di kerusi Ahli Parlimen Sri Gading dalam Dewan Rakyat semasa Parlimen Belia ini bersidang,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mengenai langkah-langkah yang akan digunakan dalam pelaksanaan Parlimen Belia pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Shabery berkata, pihaknya masih meneliti mengenai had umur bagi penyertaan dalam Parlimen Belia.
“Ada pihak yang mahu umur antara 15 hingga 40 tahun, tetapi banyak negara menganggap 40 tahun tidak lagi boleh dipanggil belia. Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), belia berumur 15 hingga 24 tahun. Jadi, adakah kita akan menyesuaikan dengan tahap yang digunakan oleh PBB itu?” soalnya.
Mengenai cara pemilihan wakil dalam Parlimen Belia itu katanya, ada cadangan supaya ia dilakukan menerusi Internet.
“Terdapat satu badan bebas untuk melihat perkara ini supaya wakil yang akan dipilih boleh berkempen melalui Internet dan mereka boleh memilih berdasarkan MyKad dan alamat yang digunakan,” katanya.
Dalam hal ini, menurutnya, apa yang penting adalah mewujudkan proses ke arah membina kepimpinan negara yang akan diterajui oleh pemimpin muda.
“Kita lihat Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada usia 47 tahun, Bill Clinton pada usia 42 tahun. Mereka belajar di Parlimen Belia bagaimana membuat rang undang-undang, berbahas dengan rasional, tidak populis dan kita melihat ini dalam konteks negara kita cara untuk melahirkan pemimpin muda,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Ahmad Shabery memberitahu kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk menganjurkan Hari Belia Negara, bagaimanapun kos keseluruhan berjumlah RM27 juta turut ditampung dengan penajaan pihak swasta.
“Terdapat juga peruntukan bagi program-program yang telah dirancang dan dilaksanakan secara serentak semasa Hari Belia Negara memandangkan kesan dan manfaatnya akan lebih dirasai oleh belia yang berhimpun di Putrajaya.
“Kementerian Belia dan Sukan menggunakan segala sumber sedia ada tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi menjayakan Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pembentukan kumpulan sukarelawan adalah bagi menggalakkan budaya sukarela kalangan belia agar mereka bersedia memberi sumbangan kepada masyarakat pada bila-bila masa yang diperlukan.