KUALA LUMPUR, 9 September – Majlis Belia Malaysia terus memperkukuhkan usaha memperkasa suara, aspirasi dan kepimpinan belia menerusi penganjuran sesi perbincangan meja bulat PEKAP X MBM: Cerita, Inspirasi & Aspirasi Belia yang berlangsung di Ibu Pejabat PEKAP, Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Sesi tersebut menghimpunkan barisan pimpinan serta tokoh belia bagi berkongsi pengalaman, pandangan dan aspirasi berkaitan isu semasa, cabaran serta hala tuju pembangunan generasi muda pada masa kini.
Perbincangan ini menjadi platform perkongsian bermakna yang mengetengahkan kisah perjalanan kepimpinan, pengalaman dalam memperjuangkan agenda belia serta pandangan strategik dalam memperkukuhkan peranan anak muda sebagai pemimpin masa hadapan.
Menerusi sesi ini, MBM menekankan kepentingan penglibatan aktif golongan belia dalam pembangunan komuniti, memperluaskan jaringan kepimpinan serta membuka ruang kepada generasi muda untuk mencipta impak positif di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Sesi perbincangan tersebut menampilkan barisan panel jemputan iaitu Saharuddin bin Ahmad, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Suhaimi bin Ibrahim serta YDP Datuk Hj. Azman Shah bin Hj. Abdullah. Turut mengendalikan sesi tersebut ialah Muhammad Syahmi Shamsudin, Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia selaku moderator.
Melalui penganjuran platform seperti ini, MBM berharap perkongsian daripada pemimpin dan tokoh belia dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus membina potensi diri, memperkukuhkan kepimpinan serta berani mengambil peranan dalam mencorakkan masa depan negara.












