Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil maklum berkenaan situasi semasa khususnya pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga pengisytiharan Darurat yang diwartakan pada 11 Januari 2021 yang menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan untuk menangguhkan pembelajaran secara fizikal kecuali bagi kelas peperiksaan;
Mengambil maklum keluh kesah ramai ibu bapa yang menyatakan kesukaran khususnya golongan B40 yang rata-rata tidak berkemampuan untuk membeli gajet untuk kegunaan anak mereka belajar, mahupun aduan kesukaran dari segi capaian internet yang amat rendah khususnya di kawasan-kawasan luar bandar, mahupun aduan kos internet yang tinggi menyebabkan kos untuk pembelajaran semakin tinggi dan menekan ekonomi keluarga;
Maka MBM mohon mencadangkan agar pihak KPM menyegerakan revolusi kaedah pengajaran online kepada tv broadcasting agar dapat dimanfaatkan oleh para pelajar di seluruh negara secara lebih teratur dan berkesan.
1.) Kerajaan menggunapakai kemudahan broadcasting di RTM dan kemudiannya boleh disalurkan kepada Media Prima dan juga Astro untuk ditayangkan;
2.) Silibus pengajaran sudah tentu langsung dari KPM dan guru-guru terpilih di Lembah Klang boleh digerakkan untuk tujuan rakaman subjek;
3.) Para pelajar yang mana sudahpun mempunyai buku teks dapat belajar dengan lebih kondusif tanpa membebankan ibu bapa;
4.) Guru sekolah masing-masing cuma perlu memberikan kerja sekolah berdasarkan pada rancangan yang ditayangkan dan memantau kerja sekolah murid murid;
5.) Capaian yang lebih menyeluruh melalui TV berbanding online yang mana kawasan luar bandar yang kurang mempunyai infrastruktur internet yang baik. Kawasan bandar juga ada yang mengalami masalah internet yang kurang memuaskan;
6.) Pemberian pengecualian cukai ke atas stesen TV swasta utk menggalakkan penyertaan untuk menghidupkan TV Pendidikan;
7.) Boleh dilangsungkan sehingga malam dan juga hujung minggu andai banyak silibus yang perlu diajarkan.
Jawatankuasa Tetap Pendidikan
Majlis Belia Malaysia (MBM)
Bertarikh : 22 Januari 2021
s.k :
1) YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia
2) YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican
Menteri Belia dan Sukan
3) YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Timbalan Menteri Belia dan Sukan