KUALA LUMPUR 9 Disember – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui MBM Holdings Sdn. Bhd. hari ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat ‘car sharing platform’ tempatan, Carpedia Global Holidays Sdn. Bhd. (The Carpedia) dalam kerjasama bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia, khususnya dalam industri gig ekonomi.
MoU yang berlangsung di pejabat MBM ini disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha.
MBM diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah MBM Holdings merangkap Timbalan Presiden MBM, Sdr. Muhammad Fadzli Hasan manakala The Carpedia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hazim Azhar.
Perjanjian yang melibatkan kedua-dua pihak bersetuju untuk berkolaborasi bagi mewujudkan sebuah program bersama yang bertujuan menggalakkan penyertaan golongan belia ke dalam industri gig ekonomi. The Carpedia, sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman dalam industri gig ekonomi kemahiran rendah (low-skilled gig economy industry) sejak 2016 akan menjadi platform utama bagi menyokong program tersebut.
The Carpedia yang memperoleh kereta di dalam platform mereka melalui pemilik-pemilik kereta lebihan di rumah yang terbeban dengan masalah kewangan disebabkan keadaan semasa. Sebagai jalan alternatif, pemilik-pemilik kereta ini boleh ‘berkongsi’ kereta tersebut di platform The Carpedia, dan kereta tersebut akan disewakan kepada golongan pencari kerja yang kebanyakannya terdiri dari belia untuk menjana pendapatan sementara melalui aktiviti gig ekonomi seperti E-Hailing, penghantaran barang (parcel delivery service), pembeli barang peribadi (personal shopper) dan pengiklanan kereta bergerak (car wrap advertisement). Ini memberi peluang kepada pemilik kereta untuk menjana pendapatan pasif melalui kereta lebihan mereka.
Lebih dari itu inisiatif antara MBM Holdings dengan The Carpedia (platform dalam talian perkongsian kereta) juga bertujuan menangani kereta yang ‘idle’ dan isu sewa beli kereta yang tidak mampu dibayar akibat kemelesetan ekonomi.
Pada peringkat permulaan, fokus kerjasama ini ialah bagi menyebarkan kesedaran dan mendidik golongan belia mengenai program ini. Pertama sekali, The Carpedia ingin mencari dan membantu lebih ramai orang di luar sana yang terbeban daripada sudut kewangan dengan kereta lebihan mereka, supaya boleh membantu menyediakan fasiliti yang mampan untuk golongan pencari kerja. Sasaran program ini untuk tahun 2021 ialah untuk mengumpulkan sehingga 300 buah kereta daripada kerjasama ini.
MBM percaya bahawa gig ekonomi bakal menjadi salah satu pemacu utama ekonomi negara dalam masa lima ke sepuluh tahun dari sekarang. MBM percaya dengan terjalinnya kerjasama ini, ia bakal membantu lebih ramai belia dalam mengatasi masalah kewangan yang disebabkan keadaan semasa dan juga mampu memberikan peluang pekerjaan yang besar kepada golongan belia. Dengan matlamat yang jelas, dan juga sokongan penuh yang diperoleh daripada Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia, MBM yakin misi ini akan dapat direalisasikan. Menerusi perjanjian ini, The Carpedia dan MBM sedang dalam usaha untuk mencari pemilik kereta yang berminat bagi menyertai program ini. Kepada sesiapa yang berminat, mereka boleh mendaftar melalui pautan berikut di www.thecarpedia.com dengan kod MBM2020 untuk menikmati lebih ganjaran.