MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM sifatkan kesukarelaan adalah budaya suci

KUALA LUMPUR, 22 Okt 2012 (Bernama) — Golongan belia khususnya mahasiswa perlu memahami bahawa gerakan kesukarelaan adalah satu aktiviti yang murni dalam setiap masyarakat di seluruh dunia. Ia melepasi sempadan budaya, agama, masyarakat dan boleh dijadikan sebagai suatu kerja ibadah di dalam hidup. Kesukarelaan dapat menukar paradigma berfikir seseorang daripada meminta-minta kepada memberi. Allah SWT telah memberi petunjuk bahawa nikmatNya kepada makhluk terlalu banyak dan tidak meminta apa yang telah diberikanNya melainkan bersyukur. Aktivis sukarela adalah seorang yang ketagih dengan memberi dan ia merasai kedamaian serta kebahagiaan yang tidak diperolehi daripada kerja-kerja yang lain.

Ini ditegaskan oleh Saudara Khairul Anwar El Syazalli Musa, Presiden Majlis Belia Negeri Perak semasa menghadiri forum Dari Hati ke Hati: Menjulang Makna Kesukarelaan sempena Kursus Transformasi Sukarelawan: Sahabat Majlis Belia Malaysia (Peringkat Zon Tengah) di Warisan Bernam Heritage Agro & Country Resort, Sg.Gading, Hulu Bernam, Hulu Selangor. Turut menjadi ahli panel ialah Puan Ida Harlina Ikhwan Nasir (Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan) dan Saudara Badrol Hisham Badrudin (Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor). Kursus yang bermula pada 19-21 Oktober 2012 di sertai oleh 80 orang belia dan mahasiswa dari beberapa Iinstitusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Universiti Nottingham dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Menurut Puan Ida Harlina pula, penghayatan terhadap pembangunan modal insan adalah peluang bagi aktivis sukarela menggerakkan kesedaran dan semangat masyarakat bagi melaksanakan pelbagai aktiviti. Rakyat Malaysia dilihat sebagai masyarakat yang tinggi kesedaran sukarela tetapi kebanyakannya bersifat ad hoc dan kurang komited kerana tidak ada institusi yang menguruskan aktiviti ini secara sistematik.

“Organisasi sukarela perlu meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing kerana tanggungjawab mereka terhadap masyarakat amatlah besar. Proses pembentukan barisan pelapis kepimpinan mesti dilaksanakan secara terancang melibatkan pengrekrutan, latihan dan penyeliaan supaya hanya mereka yang benar-benar berminat dipilih”, kata beliau.

Saudara Badrol Hisham pula berpendapat kekurangan penyertaan golongan muda untuk menyertai aktiviti sukarela adalah kerana tarikan aktiviti persekitaran yang sentiasa memenuhi keseronokan mereka. Pertubuhan sukarela harus melihat senario ini sebagai ancaman kerana golongan remaja dan belia pada hari ini akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Ibu bapa yang sibuk dengan kerja adalah gambaran sistem eokonomi kapitalis yang melihat keuntungan sebagai indikator kejayaan dalam hidup. Ibu bapa wajar diberi kesedaran untuk melihat kembali peranan mereka bagi menggerakkan semangat kesukarelaan di peringkat keluarga”, kata beliau mengakhiri forum berkenaan.

Turut hadir menyaksikan forum ialah Saudara Hasnul Fairuz Hushin Amri (Ketua Penerangan MBM), Sdr. Haris Azman Abdul Aziz (Setiausaha Kerja Majlis Belia Selangor), Saudara Mohd Shoubli Jamal (Ketua Sekretariat Sahabat MBM) dan Saudara Mohamad Rizan Hassan (Tokoh Belia Negara 2011).

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »