Hulu Langat, 23 Dis 2013 – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Pembangunan Manusia, Gejala Sosial & Dadah telah menganjurkan program Tautan Kasih Keindahan Hati Taman Seri Puteri Cheras bertempat di Singgah Santai, Hulu Langat Selangor.
Program anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Taman Seri Puteri melibatkan para penghuni yang berumur antara 14 – 18 tahun dari Taman Seri Puteri yang mana kebanyakan mereka mengandung anak luar nikah.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada penghuni Taman Seri Puteri seterusnya merapatkan hunbungan antara mereka dengan para penyumbang. Program ini juga diadakan bagi menyambut hari kanak-kanak di mana kebanyakan penghuni taman masih di bawah umur dan dikategorikan sebagai kanak-kanak.
Beberapa aktiviti turut diadakan bagi meraikan penghuni taman dan penyumbang seperti slot motivasi, jamuan makan malam, sukaneka serta sesi tazkirah bersama Imam Besar Masjid Jamek Bandaraya, Kuala Lumpur.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd Zaidi Aziz, Presiden MYHA, Sdr. Khairul Annuar Mansor, wakil dari JKM Seri Puteri, warden Seri Puteri, wakil dari TERAJU yang juga penyumbang terbesar serta Exco MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun (Pengerusi Jawatankuasa) dan Sdr Mohammad Rizan Hassan (Timbalan Jawatankuasa).