KENYATAAN MEDIA MBM
7 MEI 2015 / 18 REJAB 1436H
MBM MENYAMBUT BAIK GENCATAN SENJATA YANG DIUMUMKAN ARAB SAUDI DI YAMAN
Majlis Belia Malaysia (MBM) memantau perkembangan yang berlaku di Yaman dan menyambut baik pengumuman gencatan senjata Arab Saudi dan sekutunya hadap pemberontak Houthi. MBM menggesa agar pertempuran kedua-dua pihak dihentikan segera dan segala pertikaian diselesaikan secara baik di meja rundingan. Oman boleh berperanan menjadi orang tengah dalam rundingan damai ini.
Jika perang ini berlarutan, MBM khuatir lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas melayang begitu sahaja. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menganggarkan lebih 1 080 nyawa telah terkorban semenjak 19 Mac, ribuan telah tercedera manakala 150 000 telah meninggalkan kediaman mereka untuk mencari tempat berlindung yang lebih selamat. Menurut kenyataan sesetengah pemerhati hak asasi manusia berkaitan internally displaced persons (IDP) memberikan amaran dan kesiapsiagaan terhadap masyarakat antarabangsa agar bersedia menerima ledakan pelarian Yaman. Menurut sumber dalaman inisiatif bantuan pelarian Yaman di Malaysia iaitu AWN, pelarian Yaman telah pun sampai di Malaysia sebanyak 87 kes dan 7 keluarga yang bakal mendatangkan masalah besar kepada Malaysia dan negara-negara berkaitan.
Perang di Yaman akan memburukkan lagi keadaan Yaman yang sudah tidak stabil semenjak beberapa tahun lepas dan rakyat Yaman akan menderita kebuluran dan hanya menanti saat-saat tragis kematian. Yaman akan terus menyumbang kepada masalah rantau Asia Barat dan dunia sebagaimana yang berlaku di Syria.
Justeru MBM menyeru agar:
1. Arab Saudi dan sekutunya menghentikan terus serangan dan pihak pemberontak Houthi harus berundur serta mengembalikan semula pemerintahan yang dipilih secara sah oleh rakyat Yaman;
2. Kerajaan Malaysia sebagai Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB untuk terus memainkan peranan aktif bagi mendesak pihak terbabit menyelesaikan pertingkahan di meja rundingan;
3. Belia dan rakyat Malaysia agar terus menghulurkan bantuan kepada pelarian Yaman yang terpaksa lari menyelamatkan diri di Malaysia;
4. Belia dan rakyat terus berdoa dan bermunajat agar perang segera ditamatkan bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk berlaku.
MBM dan seluruh belia dan rakyat Malaysia merakamkan rasa sedih dan takziah terhadap rakyat Yaman yang ditimpa musibah ini dan mendoakan agar mereka tabah berhadapan dengan hari-hari yang sukar ini.
MUA’AMAR GHADAFI JAMAL JAMALUDDIN
Presiden